Serangan pengebom bunuh diri: 20 maut, 160 cedera di Afghanistan


Seorang pengebom bunuh diri meletupkan bom berhampiran pusat latihan polis di bandar Gardez, di timur wilayah Paktia, Pakistan, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 maut. – Gambar fail AFP, 17 Oktober, 2017.

SEORANG pengebom bunuh diri meletupkan bom berhampiran pusat latihan polis di bandar Gardez, di timur wilayah Paktia, Pakistan, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 maut manakala 160 lagi cedera, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai tempatan.

Mangsa yang terbunuh termasuk anggota polis dan orang awam, kata Ketua Jabatan Kesihatan Wilayah Paktia Hadayat Hamidi kepada Xinhua.

Bagaimanapun, anggota majlis wilayah Paktia, Alam Mir Bahram, berkata anggota militan terbabit meletupkan dua bom kereta yang diparkir bersebelahan pusat latihan polis itu dan angka kematian mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Polis mengepung kawasan itu dan operasi sedang dijalankan bagi menghapuskan pemberontak yang melakukan serangan.

Menurut pasukan keselamatan, jumlah penyerang ialah enam orang dan mereka dilengkapi rompi bunuh diri dan senjata ringan. – Bernama, 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen