Protes di luar Parlimen bertukar kecoh


SM Amin

NGO Tuntut mendesak kerajaan mengembalikan subsidi petrol, yang disampaikan melalui memorandum kepada Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 11 Oktober, 2019.

PERHIMPUNAN aman di luar Parlimen menjelang pembentangan Belanjawan 2020 petang ini bertukar kecoh selepas mereka yang berhimpun tidak dapat bertemu dengan wakil kerajaan.

Kekecohan berlaku selepas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim tidak hadir untuk bertemu dua badan yang berhimpun iaitu Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) dan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tuntut mendesak kerajaan mengembalikan subsidi petrol, yang disampaikan melalui memorandum kepada Anwar.

Mahasiswa UiTM pula mahu jawatan dari Maszlee berhubung tuntutan mereka mendesak yuran universiti diturunkan.

Lebih kurang 4 petang, ketika pembentangan belanjawan hampir bermula, mereka kemudian merempuh pasukan polis yang bertugas untuk masuk ke Parlimen bertemu dengan Anwar dan Maszlee, memaksa Pasukan Simpanan Persekutuan campur tangan menyuraikan keadaan.

Pengerusi Tuntut A’zlan Abu Bakar berkata cadangan kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Petrol (PSP) akan menyebabkan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Harga petrol akan meningkat dengan tiadanya subsidi. Kedua, syarat yang dikenakan akan menyebabkan mereka memerlukan subsidi tersisih termasuk anak muda yang bekerja di bandar.

“Penarikan subsidi ini juga akan menyebabkan syarikat pengangkutan menaikkan harga tambang dan juga barangan. Rakyat terpaksa menanggung semua kenaikan ini,” katanya kepada pemberita.

A’zlan berkata, pihaknya menuntut supaya Anwar mengambil serius perkara ini kerana bertentangan dengan janjinya yang mahu menurunkan harga petrol sebelum ini.

“Kita mahu Anwar memastikan program ini tidak dilaksanakan dan mengembalikan semula sistem subsidi dahulu yang lebih menyeluruh kepada semua rakyat,” katanya.

Seorang pegawai Anwar, kemudiannya bertemu dengan A’zlan dan menyatakan bahawa Presiden PKR itu bersetuju untuk berjumpa dan menerima memorandum tersebut.

Bagaimanapun, A’zlan gagal bertemu dengan Anwar untuk menyerahkan memorandum kerana sedang mengikuti pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tan Cheng Siong berkata pihaknya mahu bertemu dengan Maszlee bagi mendapat jawapan mengenai isu yuran universiti awam yang mahal.

Jelasnya, tuntutan tersebut telah disampaikan kepada Maszlee dua bulan lalu namun tiada jawapan diberikan sehingga kini.

“Yuran sangat tinggi RM5,000 satu semester di universiti awam sejak 2016. Kita mahu berjumpa dengan Maszlee supaya dia penuhi permintaan kita menurunkan yuran. Kita ada ramai kawan-kawan yang tidak mampu dan terpaksa berhenti.

“Kami sudah berjumpa dengan Maszlee dua bulan lalu tetapi sehingga kini tiada apa-apa maklum balas rasmi daripada dia. Kita mahu dia respon dari mulut dia sekarang,” katanya.

Maszlee juga di Dewan Rakyat mendengar pembentangan Belanjawan 2020. – 11 Oktober, 2019

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen