SEJUMLAH 228 pengganas dineutralkan sejak Turki melancarkan Operasi Peace Spring di utara Syria, lapor agensi berita Anadolu memetik Kementerian Pertahanan Turki semalam.
“Sembilan lagi anggota kumpulan Unit Perlindungan Rakyat (YPG)/Parti Kesatuan Demokratik (PYD) turut dineutralkan. Seramai 228 pengganas dineutralkan setakat ini,” menurut Twitter kementerian.
Operasi anti-keganasan yang dilancarkan Turki pada Rabu itu berjaya membebaskan 11 kampung di bandar Tal Abyad dan bandar Ras al-Ayn.
Kampung pertama berjaya dibebaskan daripada cengkaman pengganas ialah al-Yabisah dan Tal Fandar.
Diikuti perkampungan Musheirifa, Dadat, Bir Ashiq dan Hamidiyah di Tal Abyad dan Kishto di Ras al-Ayn.
Selain itu, kampung Lower Kishto di Ras al-Ayn, Barzan, Al Jadedah dan Gisas turut berjaya dirampas semula. – Bernama, 11 Oktober, 2019.
Komen