PENDUDUK di bandar Halle di timur Jerman semalam masih terkejut dengan insiden tembakan yang mengorbankan dua nyawa, dipercayai mempunyai kaitan dengan anti-Yahudi, lapor agensi berita Xinhua.
Datuk Bandar Halle Bernd Wiegand dalam satu temu bual dengan stesen penyiar ZDF berkata semua di bandar ini “masih terkejut dengan kejadian” yang berlaku semasa Yom Kippur, acara yang diadakan untuk menebus dosa, disifatkan hari paling suci dalam agama Yahudi.
Kejadian pada Rabu itu berlaku apabila seorang lelaki menembak mati dua orang, seorang ditembak di depan rumah ibadat dan seorang lagi di sebuah kedai kebab di Halle.
Lelaki yang dipercayai seorang pelampau sayap kanan itu bertindak ganas selepas dikatakan gagal memasuki sebuah bangunan di Halle tempat berlangsungnya Yom Kippur.
Penyerang dikenali Stephan B. turut merakam insiden itu dengan menggunakan platform penstriman Twitch sebelum beliau ditahan pada Rabu petang.
Sepanjang tahun lalu jenayah anti-Yahudi meningkat hampir 20% di Jerman, menurut data rasmi diterbitkan Polis Persekutuan Jerman pada Mei.
Presiden dewan pusat Yahudi di Jerman Josef Schuster berkata kepada stesen penyiar Deutschlandfunk, insiden itu mencetuskan kebimbangan kepada komuniti Yahudi di Jerman. – Bernama, 11 Oktober, 2019.
Komen