Bukit Aman panggil Najib kes hasutan babit Sultan Selangor


Kalidevi Mogan Kumarappa

Najib Razak akan dipanggil bagi membantu satu lagi siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Oktober, 2019.

BUKIT AMAN akan memanggil Najib Razak serta beberapa individu lain bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan membabitkan Sultan Selangor.

Ia susulan siasatan ke atas Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang dituduh Najib menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut polis, semua individu itu akan dipanggil bagi membantu satu lagi siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata Najib akan hadir untuk memberi keterangan.

“Kami sudah menghubungi beliau (Najib) yang bersetuju untuk hadir dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Katanya, polis menerima laporan daripada pengawal peribadi Sultan Selangor dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Siasatan itu berhubung kenyataan di laman Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page yang didakwa menghasut pengikutnya membantah Sultan Selangor berhubung isu papan tanda dwi bahasa.

Najib mendakwa laman tersebut merupakan laman Facebook Nga, yang dinafikan ahli Parlimen DAP itu.

Nga sudahpun dirakam kenyataan pada Selasa lalu berhubung tuduhan itu.

Beliau seterusnya membuat satu laporan polis menggesa agar Najib disiasat kerana melakukan fitnah ke atas.

Polis mengesahkan laporan yang dibuat setiausaha sulit Nga itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah. – 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen