PARTI Rakyat Sarawak (PRS) mendapatkan nasihat undang-undang mengenai langkah yang perlu diambil selepas diberi notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Wilson Nyabong.
Ahli Majlis Tertinggi PRS itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau menemui pegawai penyiasat SPRM pada Julai dan memaklumkan parti itu tidak tahu menahu RM1 juta yang diterima dari bekas perdana menteri Najib Razak adalah wang 1MDB yang dituntut oleh agensi anti rasuah itu. Najib juga bekas pengerusi Barisan Nasional (BN).
“Kami tidak pernah tanya dari mana beliau dapar duit, sumber dari mana. Kami terima duit dengan penuh percaya,” kata Adun Pelagus itu. Beliau dilantik oleh Presiden PRS James Masing untuk menguruskan isu kompaun itu.
Menurut Nyabong, parti kini berbincang dengan peguam berkenaan tindakan undang-undang yang perlu diambil.
“Parti akan buat keputusan untuk sama ada pulangkan semula duit atau mencabar notis kompaun itu di mahkamah.”
PRS, parti kedua terbesar dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah antara 80 entiti dan individu yang menerima notis kompaun SPRM yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 11 Oktober, 2019.
Komen