PENULIS Indonesia Eka Kurniawan menolak anugerah tokoh seni dan budaya oleh kerajaan dengan alasan pemerintah republik itu tidak peduli pada seni dan budaya.
Anugerah Kebudayaan dan Maestro Seni Tradisi 2019 itu diberikan oleh Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan berupa hadiah Rp50 juta (hampir RM15,000) serta plak, lapor media di Indonesia.
Anugerah itu disampaikan malam tadi kepada lebih 50 tokoh seni dan budaya, antaranya pelawak Djudjuk Srimulat yang meninggal dunia pada Februari 2015.
Penulis novel terkenal Cantik itu Luka menjelaskan beliau tidak dapat menerima anugerah kerajaan itu yang jelas merendahkan seni dan budaya berbanding sukan.
Katanya, beliau sangat terganggu apabila ahli sukan yang menang pingat di Sukan Asia malah mendapat hadiah jauh lebih lumayan berbanding seniman dan budayawan.
Kerajaan Indonesia baru-baru ini memberi hadiah Rp1.5 bilion (hampir RM444,000) kepada pemenang pingat emas di Sukan Asia 2018 manakala pemenang pingat gangsa mendapat Rp250 juta (hampir RM74,000).
“Jujur, itu terasa mengganggu sekali. Perbezaan semacam itu seperti menampar saya dan membuat saya bertanya-tanya, negara ini sebetulnya peduli dengan kesusastraan dan kebudayaan secara umum tidak?” katanya, dalam satu komen panjang di Facebook.
Jelas Eka, jurang yang sangat ketara itu menyebabkan beliau bertanya, apa sebenarnya sikap kerajaan tentang seniman dan kerja-kerja kebudayaan.
Katanya, walaupun duit yang bakal diterima daripada hadiah itu cukup untuk beliau membeli insurans kesihatan dan menampung cukai namun hati kecilnya tidak dapat menerima sikap kerajaan dalam soal seni dan budaya.

Selain terasa seperti anak tiri, Eka menyebut beberapa tindakan kerajaan tidak melindungi perbukuan apabila membiarkan pihak berkuasa merampas buku serta membiarkan kegiatan cetak rompak buku yang merugikan penerbit kecil.
“Tiba-tiba saya sedar, negara bahkan tidak ada komitmen untuk melindungi para seniman dan penulis (bahkan siapa pun?) atas hak mereka yang paling dasar (iaitu) kehidupan,” katanya.
Beliau juga membangkitkan janji Presiden Joko Widodo untuk menyelesaikan kes orang hilang termasuk penyair Wiji Thukul, yang hilang semasa rejim Orde Baru di bawah pemerintahan Presiden Suharto.
“Negara ini tak mempunyai komitmen yang meyakinkan atas kerja-kerja kebudayaan.
“Saya tak ingin menerima anugerah tersebut, dan menjadi semacam anggukan kepala untuk dasar-dasar Negara yang sangat tidak mengapresiasi kerja-kerja kebudayaan, bahkan cenderung represif,” katanya.
Eka mengakui bantahannya ini “mungkin sayup-sayup” tetapi berharap ia akan “jernih didengar”.
“Suara saya mungkin terdengar angkuh, tapi percayalah, negara ini telah bersikap jauh lebih angkuh, dan cenderung meremehkan kerja-kerja kebudayaan,” katanya.
Eka, 43, antara sasterawan penting Indonesia masa kini, yang juga terkenal di Malaysia dan pernah beberapa kali dijemput menghadiri acara sastera di negara ini.
Beliau sudah menerbitkan empat novel dan lima kumpulan cerpen, dan diterjemahkan ke 24 bahasa.
Hasil kerjanya kerap dibandingkan dengan karya pemenang Hadiah Nobel, Gabriel Garcia Marquez serta disebut antara penulis penting Indonesia sejak Pramoedya Ananta Toer.
Novel pertamanya Cantik Itu Luka disenaraikan antara 100 buku yang perlu diberi perhatian oleh The New York Times pada 2015. Novel keduanya Lelaki Harimau disenarai pendek dalam Man Booker International Prize pada 2016.
Pada Disember 2018, Eka menerima anugerah prestiji Prince Claus Award dari kerajaan Netherlands kerana pencapaian dalam bidang budaya.
Komen