Penembak El Paso mengaku tak bersalah


Kejadian tembakan berlaku di Wallmart El Paso mengorbankan 22 orang. – Gambar EPA, 11 Oktober, 2019.

PENEMBAK yang bertanggungjawab dalam keganasan tembakan di Texas yang mengorbankan 22 orang mengaku tidak bersalah atas dakwaan membunuh ketika pendengaran kes semalam, kata pejabat pendakwa raya.

Patrick Crusius, 21, dituduh melakukan tembakan massa pada 3 Ogos di Walmart di El Paso, Texas. Dia mengakut kepada polis ketika ditahan dan berkata dia menyasarkan “orang Mexico”.

“Crusius mengaku tidak bersalah tengahari tadi,” kata Pejabat Pendakwa Raya El Paso.

“Pendakwa Raya Daerah Jaime Esparza meminta hukuman mati.”

Pendengaran di Mahkamah Daerah El Paso adalah kemunculan awam pertama Crusius sejak ditahan.

Peguam untuk Daerah Barat Texas John Bash berkata kes itu akan diadili seperti tindakan keganasan domestik.

Crusius dipercayai memandu sembilan jam dari Allen, bandar halamannya di utara Texas untuk ke bandar sempadan majoriti penduduk Amerika Latin, El Paso.

Dia boleh dilihat menerusi rakaman video Walmart memasuki kedai itu dengan senjata api.

Sebelum serangan, Crusius mengeluarkan manifesto pelampau kulit putih yang meluahkan ketakutan “pencerobohan Amerika Latin” di Texas.

Lapan mangsa yang maut adalah warga Mexico, dan ramai lagi mangsa berketurunan Amerika atau Sepanyol.

Pengkritik Donald Trump menuduh presiden mencetuskan sikap perkauman melampau dalam retorik anti pendatang di AS, termasuklah komen merujuk kepada pendatang Mexico sebagai penjenayah dan rasis. – AFP, 11 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen