DAP dimaklumkan tiada lagi pemimpin parti akan ditangkap kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang diharamkan, kata setiausaha agung parti Lim Guan Eng.
Beliau berkata polis juga memaklumkan, mereka akan menjalankan siasatan segera terhadap dua Adun DAP yang ditangkap pagi ini.
“Saya dimaklumkan walaupun lebih ramai akan ditangkap atas dakwaan ada kaitan dengan LTTE, tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat daripada DAP menjadi sasaran,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
“Polis juga mendakwa mempunyai bukti konkrit untuk membuat tangkapan sedemikian dan sudah merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan di peringkat tertinggi sebelum mengambil tindakan.”
Beliau berkata satu siasatan segera akan membolehkan kertas siasatan diserahkan secepat mungkin kepada Jabatan Peguam Negara dan kedua-dua ahli DAP akan dibebaskan awal.
Exco Melaka dan Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran, kedua-dua daripada DAP, ditahan pagi ini bersama lima suspek lain.
Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang membenarkan penahanan selama 28 hari. – 10 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini
Komen