LTTE tiada beza dengan Daesh, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis hari ini menahan tujuh suspek termasuk dua Adun DAP kerana cuba menghidupkan kembali kumpulan pengganas LTTE. – Gambar PDRM, 10 Oktober, 2019.

POLIS memberi amaran agar tidak mengaitkan isu perkauman sebagai alasan untuk mengaktifkan kembali kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas, Ayub Khan Mydin Pitchay berkata kumpulan itu tiada beza dengan kumpulan pengganas lain seperti Daesh, menurut Bukit Aman.

“Apa perlunya nak aktifkan balik LTTE. Adakah nak bagi alasan kaum India ditindas di Malaysia, bagi saya tidak perlu.

“Jangan sesekali kaitkan kumpulan pengganas dengan isu perkauman. LTTE ini sama sahaja dengan Daesh dan kumpulan pengganas lain,” katanya.

Beliau juga memberi amaran, sebarang usaha menghidupkan kumpulan tersebut akan ditangani dengan keras.

“Kami akan menahan sesiapa sahaja tidak kira pemimpin politik sekiranya didapati menyokong konteks pengganas antarabangsa,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas, Ayub Khan Mydin Pitchay berkata kumpulan LTTE tiada beza dengan kumpulan pengganas lain seperti Daesh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Oktober, 2019.

Katanya kegiatan menghidupkan LTTE itu dikesan melalui upacara seperti majlis sambutan Hari Perwira LTTE yang dianjurkan hampir setiap tahun di negara ini.

“Siasatan ke atas kumpulan ini dimulakan secara terperinci pada November tahun lalu meskipun penganjuran majlis seperti itu sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu

“Mereka ini bukan sahaja menghidupkan kembali fahaman kumpulan itu tetapi sehingga ke tahap menyerang dan rancang serangan.

“Sekiranya, tindakan tidak diambil kumpulan ini akan berkembang dan Malaysia akan dilabel sebagai Pusat Aktifkan Kembali LTTE,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman.

Katanya, LTTE dikategorikan sebagai kumpulan pengganas sejak Februari 2014 dan sehingga sekarang, seramai 25 suspek yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas itu sudah ditahan.

Terbaru adalah tujuh orang, termasuk dua wakil rakyat DAP dalam operasi hari ini. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen