POLIS hari ini memanggil 11 pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk disoal siasat berhubung satu himpunan di mahkamah dan vigil memasang lilin berkaitan penahanan dua rakan mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pemimpin berkenaan ialah timbalan presiden Darrel Leiking; setiausaha agung Lorretto Padua Jr; naib presiden Junz Wong; bendahari Terrence Siambun; ketua penerangan Honorsius Albert Bosuin; ketua Wanita Johair Marlani; ketua Wirawati Munirah Majilis; timbalan Munirah, Jo-Anna Henley Rampas; timbalan ketua Pemuda Nicholas Chak; penasihat undang-undang Pemuda Norazmi Alimat; dan ketua koordinator Sepanggar Mentoh Aru.
Ratusan penyokong Warisan berkumpul di kawasan mahkamah pada 6 Oktober lalu susulan naib presiden Peter Anthony dan ketua Pemuda Aziz Jamman parti itu ditahan reman.
Mereka berdua direman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan dari 2009 hingga 2015.
Sehingga jam 1 petang tadi, enam orang tiba untuk diambil keterangan iaitu Leiking, Bosuin, Rampas, Padua dan Siambun.
“Keterangan kami berkenaan kehadiran penyokong di kawasan mahkamah dan vigil, serta sama ada kedua-dua acara itu dianjurkan atau tidak.
“Semua datang atas kehendak sendiri. Ia bukan satu penganjuran. Ia kepentingan awam, dan sebab itu orang ramai datang,” katanya dalam satu kenyataan ringkas dalam kumpulan WhatsApp Warisan.
Lima lagi individu dijangka tiba di balai petang ini.
Aziz dibebaskan tengah hari tadi selepas ditahan reman lapan hari.
Dia dibebaskan bersama Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim. – 17 Oktober, 2017.
Komen