Mexico sertai AS siasat kekayaan 'Al Chapo' Guzman


Joaquin "El Chapo" Guzman, bekas ketua organisasi pengedaran dadah terbesar dunia Sinaloa Cartel, dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah AS pada Julai lalu. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2019.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Rabu berkata kerajaannya kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menyiasat kekayaan raja dadah yang disabitkan kesalahan Joaquin “El Chapo” Guzman, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kami sudah berbincang. Kami menghubungi pihak berkuasa kerajaan AS berkaitan hal itu,” kata Lopez Obrador dalam sidang akhbar hariannya.

“Kami akan berusaha mendapatkan semula kesemua aset itu, bagi memastikan semua aset yang dirampas dan disimpan di luar negara dikembalikan kepada Mexico,” katanya.

Kerajaan AS mengarahkan lebih AS$12.6 bilion aset Guzman yang dikumpul melalui aktiviti pengedaran dadah disita.

Guzman, bekas ketua organisasi pengedaran dadah terbesar dunia Sinaloa Cartel, dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah AS pada Julai selepas disabitkan kesalahan mengedar dadah, jenayah terancang dan konspirasi untuk melakukan pembunuhan.

Beliau berjaya meloloskan diri dari penjara Mexico sebanyak dua kali sebelum ditangkap semula pada 2016 dan diekstradisi ke AS pada 2017. – Bernama, 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen