Mahkamah Bangladesh keluar waran tangkap kepada pemenang Nobel


Muhammad Yunus didakwa kerana memecat beberapa pekerja Grameen Communications kerana menubuhkan kesatuan sekerja. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2019.

MAHKAMAH mengeluarkan waran tangkap kepada pakar ekonomi Bangladesh dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Muhammad Yunus selepas gagal hadir dalam perbicaraan mengenai pemecatan pekerja di sebuah syarikat yang diketuainya, kata pegawai hari ini.

Hakim mahkamah di Dhaka mengeluarkan arahan itu Rabu selepas beberapa pekerja Grameen Communications (GC) membuat aduan mengatakan mereka dipecat kerana menubuhkan kesatuan sekerja, kata kerani mahkamah M. Nuruzzaman kepada AFP.

Yunus, yang merupakan pengerusi GC, tidak menghadiri pendengaran itu kerana berada di luar negara. Ketua pegawai eksekutif dan seorang pengurus kanan syarikat hadir di mahkamah dan mendapat jaminan, kata Nuruzzaman.

“Beliau (Yunus) meninggalkan Bangladesh sebelum menerima sebarang saman untuk hadir di mahkamah. Sebaik sahaja kembali, langkah undang-undang yang sesuai akan diambil,” kata peguam Yunus Kazi Ershadul Alam kepada AFP.

Bekas profesor ekonomi berusia 79 tahun yang mengasaskan Grameen Bank, tidak sehaluan dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina sejak 2007 ketika beliau memberi taklimat berhubung politik negara yang sangat terpolarisasi.

Pada 2011, beliau dipecat sebagai ketua Grameen Bank, dalam langkah yang dipercayai dirancang oleh Hasina. Beliau mencabar pemecatannya di mahkamah tertinggi tetapi kalah.

Yunus menubuhkan Bank, yang bersama-sama memenangi Hadiah Nobel pada 2006 kerana memberi pinjaman mikro tanpa sebarang penjamin kepada jutaan usahawan luar bandar. Bank itu kini dijalankan oleh pengurus yang dilantik oleh Hasina.

Hasina menuduhnya “menghisap darah” daripada orang miskin ketika dakwaan bank mengenakan kadar faedah lebih 20%, dan mencadangkan beliau bertanggungjawab bagi penarikan balik pinjaman Bank Dunia sebanyak AS$1.2 bilion untuk projek jambatan mega. – AFP, 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen