Iran bebaskan wartawan Rusia disyaki bekerja dengan perisikan Israel


Yulia Yuzik ditahan di Tehran minggu lalu dan pernah bekerja dengan beberapa syarikat penerbitan termasuk Newsweek versi Rusia. – Gambar YouTube, 10 Oktober, 2019.

IRAN membebaskan seorang wartawan wanita Rusia yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan perisikan Israel dan sedang dalam perjalanan ke Moscow, kata kedutaan Rusia di Tehran pada Khamis.

Yulia Yuzik, 38, ditahan di Tehran minggu lalu.

Jurucakap kerajaan Iran berkata beliau ditahan atas dakwaan kesalahan berkaitan visa tetapi kedutaan Rusia mengatakan beliau dituduh bekerja untuk perkhidmatan keselamatan Israel.

“Hasil usaha bersama kementerian luar negeri Rusia dan kedutaan Rusia di Tehran, Iran memutuskan untuk melepaskan warga Rusia, Yulia Yuzik,” kata kedutaan itu di Twitter.

Ia berkata Yuzik menaiki penerbangan pulang ke Moscow.

Wartawan Boris Voitsekhovskiy, yang dikenal pasti oleh media Rusia sebagai bekas suami Yuzik, berkata di Facebook beliau selamat tiba di ibu negara Rusia.

Rusia memanggil duta besar Iran minggu lalu untuk menjelaskan situasi penangkapan itu.

Yuzik pernah bekerja dengan beberapa syarikat penerbitan termasuk versi Newsweek Rusia.

Beliau menulis dua buku termasuk “Beslan Dictionary”, berdasarkan testimoni daripada mangsa yang terselamat dalam pembunuhan beramai-ramai pada 2004 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 330 nyawa, lebih separuh jumlah keseluruhannya. – AFP, 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen