Apple padam aplikasi peta jejak polis di Hong Hong


Apple Inc bertindak memadam aplikasi HKmap.live yang membolehkan penunjuk perasaan Hong Kong menjejak pergerakan polis. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2019.

APPLE Inc bertindak memadam aplikasi HKmap.live yang membolehkan penunjuk perasaan Hong Kong menjejak pergerakan polis.

Syarikat itu berkata aplikasi berkenaan turut disalahgunakan untuk menyerang hendap polis selain penjenayah menggunakannya untuk menyerang mangsa di kawasan yang tiada undang-undang penguatkuasaan.

Apple menerusi kenyataannya berkata “ramai pengguna prihatin di Hong Kong” yang menghubungi syarikat mengenai aplikasi pemetaan itu.

Apple berkata mereka bertindak segera menyiasat penggunaan aplikasi itu dan mendapati ia disalahgunakan selain membahayakan penduduk Hong Kong.

“Aplikasi itu memaparkan lokasi polis dan kami sudah mengesahkan dengan Biro Keselamatan Siber Hong Hong dan Biro Jenayah Teknologi bahawa aplikasi terbabit digunakan untuk menyasarkan dan menyerang hendap polis, mengancam keselamatan awam dan penjenayah menggunakan untuk memantau polis di kawasan yang tiada penguatkuasaan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Di bawah peraturan dan dasar aplikasi Apple, aplikasi terbabit tidak memenuhi piawaian untuk dipaparkan di App Store.

Pada 2011, Apple mengemas kini App Store dengan mengeluarkan aplikasi menyenaraikan lokasi pusat pemeriksaan pemandu mabuk yang sebelum ini tidak disenaraikan oleh pegawai penguatkuasaan undang-undang. – AFP, 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen