PAS setuju tak bertanding di Tanjung Piai, kata Annuar Musa


Ravin Palanisamy Diyana Ibrahim

PAS sudah bersetuju untuk tidak meletakkan calon di Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai pada November, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Katanya, keputusan itu dicapai selepas sesi rundingan antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurutnya lagi, sekarang terpulang kepada BN sepenuhnya untuk menentukan calonnya, menambah yang perkara itu akan dibincangkan antara Umno dan MCA.

“Rundingan awal diadakan antara pengerusi BN (Zahid) dan presiden PAS (Hadi) lebih kurang dua minggu lepas, dan kita dapat pandangan PAS.

“Keputusan untuk memilih calon sekarang sepenuhnya kepada BN kerana PAS sudah memutuskan untuk tidak meletakkan calonnya.

“Jadi, presiden parti komponen BN akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dan akan mengumumkan calonnya,” kata Annuar kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata BN mungkin akan mengumumkan calonnya seminggu sebelum hari penamaan calon atau mungkin juga selepas pengumuman calon Pakatan Harapan.

Apabila ditanya sama ada calon itu adalah daripada Umno, Annuar berkata banyak perkara perlu dipertimbangkan terutamanya sentimen pengundi kawasan itu.

Katanya, terdapat kajian dibuat untuk menilai sentimen dan sikap pengundi kawasan itu dan hasilnya wujud perbezaan pendapat ketara.

“Pendapat sangat ketara tentang siapa patut wakili BN. Satu pihak kata MCA tak menang baru-baru ini, jadi mengapa tak cuba calon Umno.

“Satu lagi pandangan kata, memandangkan ia kawasan bekas MCA dan mereka kalah tak banyak (marjin), mengapa tak beri peluang sekali kepada mereka.

“Jadi, biar presiden pening kepala (fikirkan),” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafiq daripada Bersatu mewakili Pakatan Harapan.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan ia akan diadakan pada 16 November dengan penamaan calon dibuat pada 2 November.

Bersatu sekali lagi akan bertanding tetapi masih belum menentukan calonnya. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen