Jho Low ‘penasihat' Najib, kata bekas CEO 1MDB


Bede Hong Timothy Achariam

Jho Low buat kerja untuk Najib, kata Shahrol Azral Ibrahim Halmi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 Oktober, 2019.

AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low bertindak sebagai “penasihat (consigliere)” kepada Najib Razak dalam isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan hari ini.

“Congsigliere” adalah terma Sicily untuk penasihat atau kaunselor kanan kepada bos Mafia, ia dipopularkan dalam filem The Godfather.

Ketika sesi soal balas hari ini, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi disoal tentang peranan Low dalam 1MDB selepas mesyuarat Lembaga Pengarah Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009 apabila aduan dibuat pegawai Istana Terengganu tentang ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu.

Wakil kepada Sultan Mizan Zainal Abidin yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong memberitahu Lembaga Pengarah yang Low terkhilaf mewakilkan dirinya sebagai penasihat khas kepada Istana Terengganu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah meminta Shahrol mengesahkan sama ada Low mewakili pihak Istana atau Najib.

Shahrol: Dia mewakili Najib Razak. Jika saya boleh guna istilah Itali “congsigliere”. Dia adalah “congsiglierie” Najib.

Shafee: Apa (maksud) perkataan itu? Jangan rumitkan hal.

Shahrol: Dia buat kerja untuk Najib.

Shafee: Saya tanya awak, Jho Low wakili Najib dalam kapasiti apa. Sebagai perdana menteri?

Shahrol: Sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dan pemilik kepentingan khas (1MDB).

Shahrol berkata beliau mempercayai Low dan tidak pernah mengesahkan peranan sebenar ahli perniagaan itu dengan Najib.

Shafee: Awak nampaknya seperti apa yang orang Itali panggil “soprammobili”. Perhiasan meja. Tak buat apa-apa. Hanya berada di situ. Seperti awak. Awak setuju?

Shahrol: Saya tak setuju.

Najib,66, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaan menuduh bekas perdana menteri itu bersubahat dengan Low untuk menipu dana kekayaan berdaulat negara, 1MDB.

Sementara itu, saksi turut mengesahkan yang CEO Mubadala Development Khaldoon Al Mubarak pada 2010 bersetuju untuk menjadi ahli Lembaga Pengarah Penasihat Antarabangsa 1MDB.

Shahrol turut mengesahkan yang beliau secara “peribadi” bertemu dengan LVMH Moët Hennessy- CEO Louis Vuitton SE Bernard Arnault di Paris untuk menawarkan tempat dalam lembaga pengarah itu. Katanya, Arnault secara lisan bersetuju.

Shahrol menjelaskan ahli lain lembaga itu adalah Pengerusi Kumpulan CITIC Chang Zhenming dan bekas perdana menteri Qatar Jaber Al-Thani. Beliau berkata, Low memberitahunya mereka sudah bersetuju secara lisan untuk menyertai lembaga pengarah.

Najib diwakili kumpulan peguam diketuai Shafee.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menerajui pihak pendakwaan, Hakim Collin Lawrence Sequerah mendengar kes. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen