Haram bagi Muslim gunting rambut dengan bukan Islam, kata guru agama


SEORANG guru agama Islam yang pernah mencetuskan kontroversi dengan menggesa umat Islam memboikot serbuk kari keluaran syarikat India hari ini mengatakan adalah haram bagi orang Islam untuk mendapatkan khidmat menggunting rambut daripada bukan Islam.

Shahul Hamid Seeni Muhammad, guru besar Maahad Tahfiz Darul Tahzhib berkata demikian dalam video yang telah tular sejak dimuat naik dua tahun lepas.

“Sejak saya belajar di pondok dan masuk tingkatan 1, sampailah sekarang, saya tak pernah bagi kepala saya kepada orang-orang kafir untuk pegang. Walaupun tak ada dalil dia pegang itu haram… adalah lebih baik kita cari kedai Islam, sekurang-kurangnya kita bantu ekonomi orang Islam,” kata Shahul Hamid.

Tiga tahun lalu, juga melalui video tular yang sama, Shahul menggesa orang Islam supaya tidak membeli serbuk kari buatan “Hindu” seperti Baba’s dan Alagappa’s. 

Beliau turut membuat lawak tentang dishti bomma, plat logam yang memaparkan “setan menggerunkan” yang berada di pintu masuk kilang Alagappa’s di Permatang Pauh.

Dalam video klip yang telah ditonton lebih 9,000 kali itu, Shahul menambah adalah haram bagi wanita Islam mengunakan perkhidmatan salon bukan Islam kerana rambut wanita dianggap aurat dan tidak sepatutnya terdedah kepada bukan Islam, termasuk wanita.

Shahul Hamid turut menyinggung pekerja salon transgender dengan menyamakan suara mereka seperti katak.

Beliau yang kerap memuat naik video-video di Youtube juga berkata adalah haram mengirim kanak-kanak Islam ke sekolah Cina kecuali jika tiada pilihan.

“Tetapi bila anak kamu pulang, dia perlu diajar betul-betul. Kenapa? Sebab anak-anak Cina tak ikut cara hidup Islam,” katanya.

Shahul juga berkata adalah haram untuk mengucap “Happy Birthday” atau “Sanah Helwah” dalam bahasa Arab, dan orang Islam juga sepatutnya menggunakan “assalamualaikum” bila menjawab panggilan berbanding menjawab “hello” dan “goodbye.” – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen