HARGA RON95 akan dinaikkan secara berkala untuk mengurangkan kesan kepada pengguna susulan rancangan kerajaan mengapungkan semua harga minyak tahun depan, kata Saifuddin Nasution.
“Kerajaan memutuskan mengadakan peningkatan berkala kerana kesan sukar diubah sekiranya berlaku kenaikan mendadak.
“Kenaikan berkala diutamakan untuk menghalang sebarang perubahan mendadak,” kata menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menjawab soalan tambahan daripada Khairy Jamaluddin (Rembau-BN) tentang rancangan kerajaan untuk mengapungkan harga RON95 tahun depan sama ada akan ada harga siling untuk petrol jenis itu.
“Mengenai harga siling, kami diberitahu yang harga minyak dunia akan berada sekitar AS$50-AS$60, dan kerana itu tidak wujud keperluan untuk harga siling,” kata Saifuddin yang merupakan ahli Parlimen Kulim Bandar Baru.
Harga semasa minyak mentah Brent adalah sekitar AS$58.25 setong.
Sebelum itu, Saifuddin memberitahu Parlimen yang kerajaan memutuskan untuk meneruskan harga tetap RM2.08 seliter untuk RON95 di Sabah, Sarawak dan Labuan kerana sistem bayaran langsung diperkenal kerajaan tidak sesuai dilakukan di sana.
“Kami mendapati yang bot kecil dan penjana petrol digunakan di banyak kawasan di Sabah dan Sarawak. Dan buat masa sekarang, tidak ada pangkalan data tentang penggunannya.
“Kerana itu, diputuskan yang kerajaan akan meneruskan subsidi RON95 di Sabah, Sarawak dan Labuan.”
Pada harga AS$58 setong, kerajaan memberikan subsidi RM025 seliter untuk RON95, kata Saifuddin.
Tambahnya, pengguna Sabah menggunakan sekitar 63 juta liter RON95 sebulan, manakala pengguna Sarawak sebanyak 67 juta liter sebulan. Penduduk Labuan pula menggunakan 2.8 juta liter RON95 sebulan.
Saifuddin menjawab soalan Ronald Kiandee (Beluran-PH) tentang mengapa Sabah, Sarawak dan Labuan tidak dilibatkan dalam sistem subsidi petrol diumum Putrajaya pada Isnin. – 10 Oktober, 2019.
Komen