RANG Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas susulan ada rasa tidak puas hati, akan dibentangkan semula sebelum habis sesi persidangan kali ini kata Liew Vui Keong.
Menteri undang-undang itu berkata tarikh akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk mengembalikan IPCMC ke dewan bagi dibahaskan dan diwartakan ialah pada 18 November.
Pada Isnin, wakil rakyat pembangkang meminta supaya urusan perbahasan RUU itu tidak menjadi sesuatu yang membuang masa selepas dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Liew.
Di Dewan Rakyat, pembangkang meminta supaya RUU IPCMC tidak dibahaskan kerana ia akan dibawa untuk diperincikan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Sejak ia dibentangkan bagi bacaan pertama dalam persidangan lalu pada Julai dan sesi sekarang, Putrajaya sudah memperkenalkan 24 perubahan dalam RUU itu.
RUU itu yang dibentangkan oleh Liew, dibahaskan oleh 30 ahli Parlimen di hadapan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan usul merujuk RUU itu kepada jawatankuasa pilihan khas, yang dilaksanakan oleh undi suara majoriti.
Jawatankuasa itu diketuai Ramkarpal Singh Karpal Singh (Bukit Gelugor-PH), yang menggantikan Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh-PH). Ahli lain ialah Rusnah Aluai (Tangga Batu-PH), Su Keong Siong (Kampar-PH), Larry Sng (Julau-PH), Wilfred Madius Tangau (Tuaran-Upko), Azalina Othman Said (Pengerang-BN) dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong-GPS).

Jawatankuasa itu kini akan mengkaji RUU berkenaan dan menyelesaikan kekaburan yang dibangkitkan ketika perbahasan dan menggariskan perincian untuk memuaskan hati semua pihak.
Ketika perbahasan, Liew berkata RUU itu tidak dirangka secara tergesa-gesa untuk membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat kerja dan menghargai pandangan diberikan ahli Parlimen.
“Keahlian jawatankuasa pemilih tidak terdiri daripada semua ahli Parlimen, hanya beberapa, adi mereka tidak boleh mewakili pandangan semua ahli Parlimen.
“Kita buka untuk perbincangan di Dewan Rakyat supaya semua boleh beri pandangan dan akan direkodkan. Jawatankuasa pemilih boleh rujuk kepada hansard dan putuskan hala tuju untuk perkara itu yang akan dibentangkan nanti,” katanya.
RUU IPCMC dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai dan bermatlamat untu menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk melonjak integriti dan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM.
IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan siasatan salah laku dalam kalangan anggota polis.
Dalam ucapan penggulungannya, Liew di hadapan ahli Palrimen berkata IPCMC dirangka mengikut Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan Parlimen kuasa untuk menggubal undang-undang bagi memantau polis.
Beliau menolak dakwaan pembangkang bahawa Putrajaya tergesa-gesa merangka RUU itu, dan berkata kerajaan mengambil masanya dan bekerjasama dengan pasukan polis.
Liew berkata EAIC tidak berkesan kerana ia hanya boleh mengesyorkan hukuman kepada pihak berkuasa disiplin polis dan tidak bertindak terhadap polis yang melakukan kesalahan. – 11 Oktober, 2019.
Komen