SEORANG penganalisis penentang keganasan di Agensi Risikan Pertahanan AS (DIA) ditahan hari ini kerana didakwa membocorkan rahsia sulit kepada wartawan, kata pegawai.
Henry Kyle Frese,30, dari Alexandria, Virginia, ditahan ketika sampai di tempat kerja dan berdepan membocorkan maklumat sulit pertahanan, kata mereka.
“Frese ditangkap kerana mendedahkan maklumat sensitif keselamatan negara untuk kepentingan diri,” kata pembantu peguam negara John Demers kepada wartawan.
Jabatan Kehakiman tidak mendedahkan butiran maklumat didakwa dibocorkan Frese selain berkata ia berkaitan dengan “sistem persenjataan negara asing”.
Identiti dua wartawan yang didakwa menerima maklumat dibocorkan Frese juga tidak didedahkan.
Wartawan terlibat diandaikan berkerja untuk CNBC dan NBC, menurut maklumat dalam pertuduhan dan Twitter Frese.
CNBC, memetik “sumber dengan pengetahuan langsung laporan risikan AS” melaporkan pada Mei tahun lepas yang China memasang peluru berpandu anti kapal laut dan sistem peluru berpandu darat ke udara di Kepulauan Spratly.
CNBC masih belum membawa pertanyaan untuk ulasan kes itu.
Frese didakwa mempunyai hubungan romantis dengan salah seorang wartawan itu, menurut pertuduhan dikeluarkan juri agung persekutuan di Virginia.
Frese adalah kontraktor untuk DIA daripada Januari 2017 hingga Februari 2018, dan merupakan pekerja sepenuh masa DIA sejak itu, dengan kebenaran melihat maklumat peringkat tertinggi, kata pegawai.
DIA adalah agensi risikan tentera AS.
Pada April atau Mei tahun lepas, Frese didakwa mengakses laporan risikan “yang tiada kaitan dengan tugasan kerjanya beberapa kali” dan menyerahkan maklumat tersebut kepada salah seorang wartawan terbabit, menurut pertuduhan.
Telefon bimbit Frese dipantau dan dia didengar bulan lepas memindahkan maklumat sulit kepada salah seorang wartawan, tambahnya.
“Frese didakwa mendedahkan maklumat sulit tertinggi pertahanan negara, yang meletakkan negara kita dan rakyatnya dalam risiko,” kata agen FBI Alan Kohler.
“Dia melanggar sumpah janji untuk berkhidmat dan melindungi AS.”
Frese berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun untuk setiap pertuduhan memindahkan maklumat sulit. – AFP, 10 Oktober, 2019.
Komen