DUA aktivis hak asasi manusia Maghribi menjadi sasaran teknologi pemantauan dibangunkan sebuah syarikat Israel yang membolehkan penghantarnya mengawal hampir sepenuhnya peranti mudah alih, kata Amnesty International hari ini.
Kumpulan hak asasi itu berkata ahli akademik dan aktivis Maati Monjib dan peguam hak asasi Abdessadak El Bouchattaoui menerima SMS mengandungi rangkaian data berniat jahat kepada perisian risikan dibangunkan Kumpulan NSO dari Israel.
“Kajian Amnesty International menemui bukti baharu menggerunkan yang menunjukkan bagaimana perisian risikan jahat Kumpulan NSO membolehkan penindasan pembela hak asasi yang disokong negara,” kata Danna Ingleton daripada bahagian teknologi Amnesty dalam satu kenyataan.
Menekan rantaian yang dihantar membolehkan “penghantarnya memperolehi kawalan hampir penuh telefon” yang secara sulit memuat turun perisian Pegasus, kata Amnesty.
Kumpulan hak asasi itu menuduh teknologi sama digunakan untuk mensasarkan salah seorang kakitangannya dan seorang aktivis Arab Saudi pada Jun 2018.
Bouchattaoui dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada 2018 oleh mahkamah jenayah Maghribi kerana kecaman kerasnya berkaitan tindakan pasukan keselamatan terhadap penunjuk perasaan yang dibuat dalam talian, sementara Monjib pada 2015 dituduh “mengancam keselamatan dalaman”, menurut Amnesty.
“Kumpulan NSO diketahui hanya menjual perisian risikan kerapa agensi risikan negara dan penguatkuasaan undang-undang, menimbulkan kebimbangan serius tentang agensi risikan Maghribi adalah dalang pemantauan itu,” kata Amnesty.
NSO berkata ia tidak mengendalikan sistem Pegasus, hanya mengeluarkan lesen terhadap pengguna yang disaring kerajaan “dengan tujuan tunggal menghalang atau menyiasat jenayah serius termasuk keganasan”. – AFP, 10 Oktober, 2019.
Komen