Datuk bandar di Mexico diikat dan diheret penunjuk perasaan


Kejadian berlaku pada Selasa apabila sekumpulan ahli pasukan bersenjata Orang Asal Tojobal memecah masuk pejabat datuk bandar Las Margaritas di negeri Chiapas. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2019.

PETANI yang marah menyerbu masuk ke dalam dewan bandar raya di selatan Mexico, menawan datuk bandar sebelum mengheretnya di seluruh bandar di belakang trak pikap, kata pegawai semalam.

Kejadian berlaku pada Selasa apabila sekumpulan ahli pasukan bersenjata Orang Asal Tojobal memecah masuk pejabat datuk bandar Las Margaritas di negeri Chiapas.

Saksi memberitahu penyiasat yang penyerang mengikat Datuk Bandar Jorje Luis Escandon, membawanya keluar dan mengikatnya di belakang trak pikap.

Mereka kemudian mengheretnya beberapa puluh meter di jalanan, sebelum polis dan pekerja awam masuk campur dan membebaskan Escandon yang cedera ringan.

Datuk bandar menuduh penunjuk perasaan cuba memeras ugutnya.

“Sekitar 50 hingga 60 orang datang menaiki tiga pikap, bersenjatakan parang dan menculik pegawai bandar untuk memeras ugut kami dan meminta wang diberikan kepada mereka,” katanya kepada AFP.

“Mereka mencekik, mengikat kaki dan mengheret saya keluar dari pejabat ke luar,” katanya.

Pendakwa raya negeri Jorje Luis Llaven berkata penyerang mendesak diberikan lebih banyak sumber awam, termasuklah wang tunai kepada komuniti pendalaman mereka, Santa Rita El Invernadero.

Presiden haluan kiri Andres Manuel Lopez Orbador memperkenalkan dasar bantuan awam dalam bentuk wang tunai kepada penerima, bagi menghapuskan korupsi dan karenah birokrasi pihak ketiga.

Sebelas orang ditahan dan berpuluh lagi cedera. Polis Chiapas juga dihantar ke Las Margaritas untuk mengembalikan ketenteraman awam, bandar itu mempunyai sekitar 20,000 penduduk terletak berhampiran sempadan Mexico dan Guatemala.

Ini bukanlah kali pertama petani Santa Rita El Invernadero mengadakan protes ganas. Empat bulan lepas mereka merosakkan dewan bandar raya, mendesak Escandon memenuhi janji dibuat pada pilihan raya 2018. – AFP, 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen