Turki serang Syria, Liga Arab panggil mesyuarat tergempar


Liga Arab akan bermesyuarat Sabtu ini selepas Turki menyerang tentera Kurdish di negara jirannya, Syria. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2019.

LIGA Arab akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Sabtu untuk membincangkan operasi tentera Turki terhadap tentera Kurdish di Syria, kata badan itu semalam.

Susulan permintaan Mesir, menteri luar rantau itu akan berkumpul di Kaherah pada 12 Oktober untuk “membincangkan tindakan kekerasan Turki di wilayah Syria”, kata Hossam Zaki, pembantu setiausaha agung Liga Arab dalam satu kenyataan lewat malam semalam.

Pengumuman itu dibuat selepas Turki melancarkan serangan udara dan tembakan di sepanjang sempadan dengan Syria awal hari semalam, mencetuskan kecaman antarabangsa.

Disokong oleh pemberontak Syria, ia juga menggerakkan tentera darat di Tal Abyad, kawasan dalam kawalan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish Syria (YPG).

Serangan Ankara itu dibuat susulan perubahan mendadak dasar AS yang menyaksikan Amerika menarik balik tenteranya di utara Syria, yang memberikan lampu hijau kepada operasi ketenteraan Turki.

Zaki mengecam “serangan tidak terjangka ke atas kedaulatan negara ahli Arab yang mengambil kesempatan ke atas situasinya dan melanggar undang-undang antarabangsa”.

Dalam kenyataan semalam, Liga memberi amaran yang serangan itu “boleh membantu Daesh kembali kuat”. – AFP, 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen