SERANGAN anti Yahudi yang membunuh sekurang-kurangnya dua orang di bandar Halle, Jerman semalam disiarkan secara langsung selama 35 minit dan ditonton oleh 2,200 orang, kata platform dalam talian Twitch.
“Pemilik akaun menyiarkan kejadian kejam ini secara langsung di Twitch selama 35 minit, sepanjang masa itu ia ditonton oleh lebih kurang lima orang,” kata platform permainan dalam talian itu di Twitter.
“Rakaman siaran itu, yang dijana secara automatik berdasarkan penetapan akaun, kemudian ditonton oleh lebih kurang 2,200 orang dalam tempoh 30 minit sebelum video itu dilapor dan dikeluarkan daripada Twitch,” menurut platform yang dimiliki Amazon itu.
Dalam rakaman video yang diperolehi AFP tetapi tidak disahkan oleh polis, penembak merakam dirinya memaki hamun wanita dan Yahudi, sebelum melakukan serangan ke atas sebuah saumaah di bandar timur Jerman pada hari suci Yom Kippur serta sebuah restoran Turki.
Menurut Twitch, akaun itu dibuka “lebih kurang dua bulan sebelum siaran tembakan itu” dan hanya pernah digunakan sekali sebelum itu.
“Twitch tidak bertolak ansur dengan tindakan kebencian,” katanya.
“Sebaik sahaja video itu dikeluarkan, kami berkongsinya dengan konsortium industri untuk menghalang penyebaran kandungan itu. Kami mengambil langkah yang sangat serius dan komited bekerjasama dengan pemain lain industri, penguatkuasa undang-undang dan pihak berkaitan lain untuk melindungi komuniti kami,” kata Twitch lagi.
Twitch dibeli oleh Amazon pada 2014 dengan harga AS$970 juta dan dianggarkan mempunyai 150 juta pengguna aktif harian.
Kaedah penembak yang menyiarkan kejadian tembakan secara langsung itu serupa dengan serangan di masjid Christchurch tahun lepas.
Tragedi di New Zealand itu disiarkan secara langsung di Facebook pada Mac, menyebabkan kerajaan memberi tekanan kepada gergasi media sosial untuk menghalang penyiaran tindakan ganas di platform mereka. – AFP, 10 Oktober, 2019.
Komen