.jpg)
KERAJAAN harus mempertimbangkan kenaikan pelepasan cukai individu dan tanggungan yang tidak pernah dinaikkan semenjak tahun 2009 dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentengkan oleh menteri kewangan pada 11 Oktober 2019 ini.
Kali terakhir pelepasan cukai individu dinaikkan adalah pada tahun 2009 kepada RM9,000 berbanding RM8,000 pada tahun 2008. Sedekad berlalu, adalah tidak adil untuk pelepasan cukai individu berjumlah RM9,000 ini dikekalkan menjelang tahun 2020.
Oleh itu, adalah wajar untuk kerajaan meningkatkan pelepasan cukai individu ini kepada RM10,000 hingga ke RM12,000 bagi mengurangkan beban pembayar cukai individu khususnya golongan berpendapatan pertengahan (M40).
Kerajaan juga perlu melihat semula nilai-nilai pelepasan cukai yang kini dilihat sudah tidak munasabah dengan kos sara hidup pembayar cukai individu hari ini.
Antaranya, pelepasan cukai untuk yuran penghantaran anak berumur 6 tahun dan ke bawah ke taman asuhan kanak-kanak dan tadika berdaftar yang kini hanya RM1,000 perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM2,000.
Selain itu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga untuk ibu bapa yang sudah lebih sedekad lamanya kekal pada nilai RM5,000 sewajarnya dinaikkan kepada RM7,000 hingga RM8,000 .
Kerajaan juga boleh memperkenalkan semula pelepasan cukai bagi faedah pembelian rumah yang terhad kepada RM10,000 setiap tahun seperti yang pernah dilakukan sekitar tahun 2009 dan 2010. Pelepasan cukai bagi faedah pembelian rumah ini semestinya akan mengurangkan beban anak muda yang bakal atau sedang membayar ansuran perumahan pada hari ini.
Diharap kerajaan di bawah Kementerian Kewangan pimpinan Lim Guan Eng dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan pelepasan cukai individu di atas.
Ketika persatuan syarikat serta korporat sibuk melobi untuk kerajaan menurunkan kadar cukai korporat, diharap kerajaan tidak terlepas pandang kepada pembayar cukai individu yang lebih memerlukan kenaikkan pelepasan-pelepasn cukai tertentu dari pihak kerajaan. – 10 Oktober, 2019.
*Isamuddin Isa adalah exco Pemuda Umno Johor Bahru, juga konsultan cukai.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen