Kongres Maruah Melayu untuk perkuat Dr Mahathir, kata penganalisis


SM Amin

Dr Mahathir Mohamad berusaha memperkukuhkan kedudukan Bersatu dalam PH dengan meraih sokongan kelompok strategi Melayu termasuk parti politik dan NGO, kata penganalisis politik – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

KONGRES Maruah Melayu (KMM) yang berlangsung pada Ahad lalu hanyalah usaha untuk mengukuhkan kedudukan Dr Mahathir Mohamad, kata penganalisis politik.

Pengarah Institut Kajian Etnik Malaysia (Kita) Shamsul Amri Baharudin berpendapat itulah agenda tersirat di sebalik amanat perdana menteri yang berbeza dengan resolusi kongres itu.

Beliau turut membaca bahawa tuntutan pemimpin parti dan NGO Melayu adalah agenda tersurat dalam kongres tersebut, yang tidak dihadiri presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Kerana itulah ada perbezaan antara kandungan resolusi dan kandungan ucapan Dr Mahathir.

“Kedua-dua agenda ini adalah agenda politik untuk kepentingan Melayu dan untuk kepentingan survival politik Dr Mahathir yang semakin terancam,” katanya.

Beliau berpendapat kedudukan Dr Mahathir terancam kerana pergolakan pemimpin elit Pakatan Harapan (PH) di sekitar Anwar yang menyokong presiden PKR itu sebagai pengganti perdana menteri.

“Kedudukan beliau dan partinya sangat lemah. Semua tindakan beliau dikritik terang-terangan dan terbuka oleh penyerang-penyerang DAP yang beliau kena tepis – tetapi tidak mampu lagi.”

Melalui kongres itu, Dr Mahathir juga berusaha memperkukuhkan kedudukan Bersatu dalam PH dengan meraih sokongan kelompok strategi Melayu termasuk parti politik dan NGO, katanya.

Kedudukan Dr Mahathir Mohamad terancam kerana pergolakan pemimpin elit PH di sekitar Anwar Ibrahim yang menyokong presiden PKR itu sebagai pengganti perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

Penganjur – Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi Mara pula hanya memberi imej akademik pada kongres Melayu itu, katanya.

“‘Melayu’ dalam kongres ini akhirnya hanyalah satu label yang dengan terang-terangan telah diperguna.

“Penglibatan UM, UTM, UPSI dan UiTM memberikan imej dan sentuhan kecendikiawanan yang Dr Mahathir sangat perlukan,” ujarnya.

Dr Mahathir dalam ucapan di hadapan pemimpin Melayu di kongres itu antara lain mengingatkan bahawa maruah orang Melayu bergantung pada diri mereka sendiri – bukan pada bantuan atau perlindungan kerajaan.

Perdana menteri turut mengingatkan orang Melayu supaya memperbetulkan sikap dan nilai agar rajin berusaha dan tidak membiarkan pekerjaan yang ada di negara ini dikaut oleh warga asing.

Ia berbeza dengan tuntutan dalam resolusi kongres itu yang antara lain menyuarakan tuntutan untuk mendapatkan lebih banyak bantuan dan menyalahkan DAP atas masalah yang berlaku dalam negara.

Resolusi berkenaan juga menuntut agar  semua jawatan utama dalam kerajaan dikuasai oleh orang Melayu.

Seorang lagi penganalisis berpendapat, tuntutan yang terlalu radikal dan tidak realistik dalam kongres itulah yang mengundang kritikan daripada Dr Mahathir.

Ia juga membuatkan perdana menteri dituduh tidak ikhlas dalam menunaikan tuntutan dalam kongres tersebut, kata Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu berkata, banyak resolusi yang dibentangkan sukar untuk dilaksana kerajaan PH – malah tidak akan sanggup dilaksanakan BN pimpinan Umno.

“Dr Mahathir melihat dalam konteks lain, menggunakan platform tersebut mengkritik sikap orang Melayu itu sendiri.

“Fokus sepatutnya diberikan kepada ekonomi dan minta orang Melayu tidak terlalu politiking dengan memainkan isu kaum, agama dan sebagainya,” katanya.

'Melayu' dalam kongres ini akhirnya hanyalah satu label yang dengan terang-terangan telah diperguna, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

Jelasnya, amanat Dr Mahathir di kongres berkenaan tidak digemari pemimpin parti dan NGO terlibat kerana tidak menjawab tuntutan mereka.

“Tuntutan tersebut agak sukar untuk dilaksanakan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia ini. Kerajaan BN dahulu pun tidak sanggup untuk buat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah Azizuddin, beliau melihat banyak resolusi yag dibentangkan bukan sahaja tidak baik untuk orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia secara amnya.

“Ada usul dari kongres yang boleh diambil kira tetapi banyak tuntutan agak radikal sukar untuk dibuat seperti semua jawatan penting perlu diberikan kepada orang Melayu dan banyak lagi tuntutan yang tidak realistik.

“Mereka tidak boleh harap kerajaan akan tunaikan semua yang tuntutan mereka,” katanya yang percaya dasar itu akan diteruskan apabila Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Pemimpin Umno seperti Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail mempersoalkan keikhlasan Dr Mahathir itu kerana tidak menjawab dan mengambil berat resolusi yang dibentangkan.

Rizam mendakwa mendakwa perkara ini mengusutkan lagi dilema kaum itu yang melihat kerajaan baharu gagal membela nasib mereka.

“Resolusi itu sangat penting dan kerajaan perlu ambil serius perkara ini kerana ia menjadi kayu pengukur kepada kemampuan kerajaan pada hari ini menjayakan resolusi orang Melayu.

“Tetapi kita merasa terkilan kerana ucapan Dr Mahathir tidak banyak mengulas berkenaan resolusi yang dibawa.

“Beliau hanya memberi tumpuan mengenai kelemahan orang Melayu itu sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, kegagalan kerajaan melaksanakan resolusi tersebut hanya akan mengesahkan persepsi bahawa kerajaan pimpinan orang Melayu lemah dan tunduk pada tekanan bangsa lain.

Beberapa pemimpin Melayu dan NGO yang hadir ke kongres tidak menunggu lama untuk meluahkan rasa kecewa terhadap ucapan Dr Mahathir pada Ahad.

Kritikan ke atas ucapan itu antara lainnya disuarakan Gerakan Pembela Ummah, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Annuar Musa yang mewakili Umno.

Mereka mahukan mesej yang jelas ke atas resolusi kongres dan kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir yang terus menyalahkan orang Melayu dalam isu-isu yang membelenggu kaum itu. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen