AMBANK tidak pernah memberitahu Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) dan tertuduh bahawa bank itu terlibat menjual bon untuk keuntungan singkat yang menyebabkan syarikat didakwa ada kaitan dengan Low Taek Jho untung beratus juta ringgit, kata saksi pada perbicaraan Najib Razak hari ini.
Perkara itu berkaitan bon bernilai RM5 bilion yang diterbitkan oleh TIA pada 29 Mei 2009, kata bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Shahrol adalah CEO di TIA sebelum ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari 2009 hingga 2013.
Beliau berkata AmBank tidak memaklumkan kepada TIA ataupun Najib bahawa dua syarikat asing yang dikaitkan dengan Low membeli bon pada harga diskaun dan menjualnya semula pada nilai muka di pasaran.
Najib, 66, dihadapkan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoseh suapan bernilai RM2.3 bilion dari 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Pendakwa menuduh bekas perdana menteri itu bersekongkol dengan Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk menipu pelabur.
Ketika disoal balas oleh peguam utama pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol berkata TIA tidak tahu menahu bahawa Aktis Capital Singapore Pte Ltd dan Country Group Securities yang beribu pejabat di Thailand adalah pelanggan sekunder dalam penjualan bon terbabit.
Mengikut dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah semalam dan hari ini, Country Group Securities didakwa milik bapa Low, Larry.
Kedua-dua syarita berkenaan dibenarkan membeli bon pada nilai 88% daripada harga muka, yang kemudiannya dijual kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan syarikat-syarikat insurans. – 9 Oktober, 2019.
Komen