Beri peluang pada Dr Mahathir, kata Anwar


Kalidevi Mogan Kumarappa

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Dr Mahathir Mohamad sudah berjanji akan menyerahkan kuasa kepadanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Oktober, 2019.

DR Mahathir Mohamad perlu diberi peluang untuk berkhidmat sebagai perdana menteri dan tidak harus terus ditekan untuk menyatakan tarikh persaraan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya Dr Mahathir sudah berjanji akan menyerahkan kuasa dan akan dilihat tidak berkuasa sekiranya tarikh persaraan itu diumumkan lebih awal.

Perkara itu pernah diluahkan kepadanya oleh Dr Mahathir yang meminta agar diberi ruang untuk berkhidmat kepada rakyat, kata Anwar dalam satu persidangan hari ini.

“Beliau pernah meluahkan, ‘Anwar saya sudah berjanji dan akan menunaikan janji berkenaan. Tak patut paksa saya umum tarikh (persaraan) kerana akan menyebabkan saya jadi perdana menteri yang tidak berkuasa’,” kata Anwar.

Oleh itu, isu berkenaan sudah selesai dan tidak adil kepada Mahathir sekiranya masih timbul spekulasi mengenai tarikh peralihan kuasa itu.

“Semua pihak, setiap sidang media, CNN bertanya kepada Mahathir bila dia akan bersara.

“Saya tidak mengambil ringan isu itu. Tolong hentikan isu ini, biar dia terus berkhidmat,” katanya dalam sesi soal jawab Persidangan Kepimpinan APEX di Kuala Lumpur.

Isu mengenai peralihan kuasa itu dibangkitkan oleh pengerusi persidangan.

Perkara itu dibangkitkan semula bulan lalu oleh pengasas dan bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali yang mencurigai keikhlasan Dr Mahathir untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Syed Husin mengkritik Dr Mahathir kerana tidak menyatakan pelan peralihan kuasa yang jelas serta mempersoal pemimpin PH lain yang menurutnya tidak mampu mempersoalkan perkara itu.

Mahathir berulang kali menyatakan komitmennya terhadap janji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar tetapi tidak meletakkan tempoh khusus untuk itu. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen