Polis mahu panggil saksi pakar inkues kematian Adib


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS akan memanggil dua saksi pakar inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim untuk dirakam keterangan dalam membantu siasatan kes itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata dua pakar itu termasuk pakar patologi forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Seorang lagi adalah Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Amir Radzi Ab Ghani, katanya yang menambah mereka akan dipanggil dalam masa terdekat.

Hanya dua saksi berkenaan masih belum memberi keterangan kepada polis sebelum memberi keterangan di mahkamah, katanya.

“Kami sudah dapatkan temujanji bersama seorang daripada mereka hari ini.

“Daripada 30 saksi yang dipanggil dalam inkues, 28 saksi sudah dipanggil polis sebelum ini. Jadi kami akan merakam keterangan dua pakar itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Huzir yang bercakap dalam sidang media di Bukit Aman hari ini Huzir turut menggesa orang ramai menghentikan spekulasi pembabitan empat lelaki dalam kes bunuh anggota bomba itu.

Jelasnya, empat orang yang sudah dibebaskan itu terlibat dalam rusuhan di dua lokasi lain dan bukan sewaktu serangan ke atas jentera bomba.

Empat individu itu merupakan antara 12 orang yang ditahan, katanya, yang dibebaskan apabila didapati tidak terlibat dengan kes kematian Adib.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di IJN pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya. – Gambar Facebook, 9 Oktober, 2019.

“Secara keseluruhan 12 orang ditahan dalam kes ini merangkumi kejadian rusuhan di kuil, serangan ke atas jentera bomba dan rusuhan di Menara MCT.

“Oleh kerana semua lokasi ini berhampiran, polis menahan kesemua mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Namun hasil siasatan didapati 12 orang ini tidak terlibat dalam kes kematian Adib sebaliknya terbabit dalam rusuhan di dua tempat lain itu,” katanya.

Beliau juga berkata salah faham itu timbul ekoran kekeliruan dalam laporan media.

“Salah faham berhubung empat suspek yang dibebaskan dalam kes itu adalah disebabkan kekeliruan dalam laporan media tempatan,” katanya.

Menurut Huzir, empat suspek yang dibebaskan itu disiasat mengikut Seksyen 147, 427 dan 447 Kanun Keseksaan iaitu merusuh, pencerobohan jenayah dan mendatangkan bencana.

“Selain itu, kami juga meminta 56 individu daripada 66 orang yang disiarkan gambar mereka Disember lalu untuk tampil membantu polis berkaitan kes Adib,” katanya.

Huzir berkata, pihaknya memberi masa kepada semua individu itu untuk tampil memberi kerjasama.

27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen