AMERIKA Syarikat (AS) pada Selasa mengenakan sekatan terhadap pegawai kanan China kerana didakwa menjalankan “kempen penindasan terhadap Uighur” dan kumpulan minoriti Islam yang lain di China, lapor agensi berita Anadolu.
Tindakan itu dibuat sehari selepas AS menyenarai hitam puluhan lagi entiti China atas dakwaan yang sama.
Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata sekatan visa itu kerana Beijing menjalankan kempen penindasan di rantau itu “termasuk tangkapan secara besar-besaran, menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk menjalankan pengawasan dan mengintip identiti budaya dan agama, selain memaksa individu yang menetap di luar negara kembali untuk berdepan situasi yang berbahaya di China. “
Mereka yang terlibat termasuk kerajaan China dan pegawai Parti Komunis yang AS percaya mereka bertanggungjawab atau terlibat dalam kempen penindasan itu.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai nama individu terbabit tidak didedahkan.
“AS menyeru China segera menamatkan kempen penindasannya di Xinjiang, membebaskan semua orang yang ditangkap dan menghentikan usaha memaksa kelompok minoriti Islam China yang tinggal di luar negara untuk kembali ke China bagi menghadapi nasib yang tidak pasti,” kata Pompeo.
Jabatan Perdagangan AS hari ini menyenaraihitam 28 entiti yang didakwa terlibat.
Entiti yang disenarai hitam termasuk firma seperti Dahua Technology, Hikvision dan Megvii Technology yang menghasilkan peralatan pengawasan video dan teknologi untuk mengenal pasti individu melalui pengecaman wajah.
Senarai itu juga termasuk beberapa agensi kerajaan serantau. Firma itu dihalang membeli produk dari syarikat Amerika tanpa persetujuan Washington.
September lalu, sebuah kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di New York menuduh Beijing melaksanakan “kempen sistem pelanggaran hak asasi manusia” terhadap kaum Muslim Uighur di Xinjiang.
Dianggarkan sejuta orang atau kira-kira 7% daripada keseluruhan penduduk Islam Xinjiang dipenjara di dalam rangkaian kem “pendidikan semula politik”, menurut kajian AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Bernama, 9 Oktober, 2019.
Komen