Pentagon nafi tidak dimaklum situasi terbaru di Syria 


Pentagon berusaha melindungi tentera AS di utara Syria dalam menghadapi tindakan ketenteraan oleh Turki.– Gambar EPA, 9 Oktober, 2019.

PENTAGON pada Selasa menafikan laporan kononnya pegawai tinggi tentera tidak dimaklumkan mengenai pengumuman Presiden Donald Trump Amerika Syarikat (AS) akan menarik balik tenteranya dari Syria, lapor agensi berita Anadolu.

“Setiausaha Pertahanan Mark Esper dan Pengerusi Ketua Turus Bersama Mark Milley “telah dipanggil untuk berbincang mengenai perkara itu dan usaha yang perlu dilakukan bagi melindungi tentera AS di utara Syria dalam menghadapi tindakan ketenteraan oleh Turki,” kata jurucakap Pentagon Jonathan Hoffman dalam kenyataan.

“Kami tetap dengan pendirian bahawa mewujudkan Zon Keselamatan di utara Syria adalah jalan terbaik untuk mengekalkan kestabilan,” kata Hoffman.

“Malangnya, Turki memilih untuk bertindak secara sepihak, hasilnya kami telah memindahkan tentera AS di utara Syria untuk memastikan keselamatan mereka. Kami tidak membuat perubahan terhadap kehadiran tentera di Syria pada masa ini,” tambahnya.

Rumah Putih mengumumkan akan mengundurkan tentera dari utara Syria pada Ahad, ketika Turki memutuslkan untuk bertindak melancarkan operasi tentera bagi memerangai pengganas sekaligus mewujudkan Zon Keselamatan.

Turki telah sekian lama meminta AS bekerjasama dengannya dalam memerangi Daesh, namun negara itu sering berdolak-dalik.

Sejak 2016, operasi Perisai Euphrates Turki dan Cawangan Olive di barat laut Syria berjaya membebaskan wilayah itu daripada cengkaman keganasan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) serta Daesh, membolehkan 400,000 rakyat Syria yang melarikan diri dapat pulang semula ke  rumah mereka.

Dalam kempen keganasan lebih 30 tahun terhadap Turki, PKK - disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turki, AS dan Kesatuan Eropah - bertanggungjawab menyebabkan kematian 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi. YPG pula di bawah organisasi PKK, cawangan Syria. – Bernama, 9 Oktober, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen