AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho adalah satu-satunya yang menjadi penghubung antara Najib Razak dengan bekas CEO 1Malaysia Development Bhd Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Semasa soal balas dalam perbicaraan 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib, Shahrol memberi keterangan yang Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, tidak mempunyai jawatan rasmi dalam dana kekayaan berdaulat itu.
Saksi berusia 49 tahun itu mengatakan Low memegang jawatan tidak rasmi.
“Beliau adalah satu-satunya yang menghubungkan antara 1MDB, saya dan pemegang saham tunggal, Najib,” katanya kepada peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.
Menteri Kewangan Diperbadankan, yang diketuai oleh Najib, mengambil alih pemilikan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 31 Julai 2009 dan menukar namanya kepada 1MDB.
Ketika Low bekerja secara pro bono sebagai penasihat khas di TIA, beliau tidak memegang jawatan rasmi yang sama di 1MDB, kata Shahrol.
Semalam, beliau berkata tidak pernah melihat tandatangan Low pada dokumen berkaitan 1MDB.
Najib, 66, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah yang sama.
Pendakwa mendakwa beliau bersekongkol dengan Low yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang untuk untuk menipu firma pelaburan negara. – 9 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini
Komen