Iran benarkan wanita masuk stadium bola sepak


Seorang wanita memegang bendera Iran ketika menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2018 di Moscow, Rusia. Sejak 40 tahun, Iran melarang kaum wanita memasuki stadium. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2019.

IRAN membenarkan peminat wanita memasuki stadium bola sepak pada Khamis, kali pertama sejak beberapa dekad, selepas FIFA mengancam menggantung republik Islam berhubung polisi kontroversi yang hanya memberi kebenaran masuk kepada kaum lelaki sahaja.

Iran menghalang penonton wanita untuk menyaksikan perlawanan bola sepak dan memasuki stadium selama lebih kurang 40 tahun, dengan para ulama berpendapat mereka harus dilindungi daripada suasana maskulin dan melihat tidak menutup aurat.

Badan bola sepak dunia FIFA bulan lepas memerintahkan Iran membenarkan akses kepada wanita ke stadium tanpa sekatan dan jumlah yang ditentukan berdasarkan permintaan tiket.

Arahan itu datang selepas seorang peminat sukan bola sepak yang digelar “Blue Girl” meninggal dunia selepas membakar dirinya kerana dipenjara susulan berpakaian seperti budak lelaki untuk menghadiri perlawanan.

Kaum wanita segera mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 melawan Kemboja di Stadium Azadi di Tehran pada Khamis.

Fasa pertama tiket terjual dalam masa kurang sejam, dan kerusi turut ditambah selepas arahan singkat itu, kata media negara.

Seorang pegawai kementerian sukan berkata stadium dengan kapisiti 100,000 yang namanya bermaksud “Kebebasan” dalam bahasa Parsi - bersedia menjadi tuan rumah lebih ramai peminat wanita.

Seorang daripada 3,500 wanita yang mendapat tiket ialah Raha Poorbakhsh, seorang wartawan bola sepak.

“Saya masih tidak percaya ini akan berlaku kerana selepas bertahun-tahun bekerja di bidang ini, hanya menonton di televisyen, saya kini dapat merasainya secara langsung,” katanya. – AFP, 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen