JURI Pennsylvania memutuskan pada Selasa syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Johnson & Johnson perlu membayar AS$8 bilion ganti rugi dan faedah kerana gagal memberi amaran bahawa ubat psikiatrinya boleh menyebabkan ketumbuhan pada payudara lelaki.
Johnson & Johnson dan anak syarikatnya Janssen Pharmaceuticals dipersalahkan ketika plaintif Nicholas Murray memberitahu mahkamah Philadelphia yang Risperdal, digunakan bagi merawat skizofrenia dan gangguan bipolar, menyebakan ketumbuhan pada payudara.
Syarikat itu mencabar keputusan dalam satu kenyataan, menyifatkan ganti rugi “sangat tidak seimbang” dengan pampasan dalam kes terdahulu sebanyak AS$680,000.
“Syarikat yakin (keputusan itu) akan berubah dan mengetepikan keputusan keterlaluan dan tidak berasas ini,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu, Johnson & Johnson mendakwa mahkamah menghalang pasukan peguambela mereka daripada membentangkan “bukti utama” berhubung pelabelan Risperdal.
Syarikat ini berdepan beberapa aduan di mahkamah negeri kerana gagal memberi amaran yang betul tentang kesan sampingan Risperdal, termasuk di Pennsylvania, California dan Missouri.
Risperdal, yang diluluskan untuk rawatan orang dewasa oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS pada 1993, menjana AS$737 juta (672 juta euro) dalam jualan pada 2018. – AFP, 9 Oktober, 2019.
Komen