Sindiket judi cuba cemar reputasi ketua SPRM, kata Utusan


Isu yang melanda Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Dzulkifli Ahmad kini dianggap kempen 'pembunuhan karakter' kerana berikrar menumpaskan sindiket perjudian termasuk dan pihak penguatkuasaan yang melindungi mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2017.

UTUSAN Malaysia kini dilihat cuba memutarkan isu dengan menuduh sindiket perjudian cuba memburukkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad di sebalik sasaran beliau memerangi rasuah yang didakwa berlaku dalam kementerian dan agensi kerajaan.

Pengarangnya, Zulkiflee Bakar hari ini mengatakan kempen memburuk-burukkan itu adalah bagi membalas ikrar agensi anti rasuah untuk menghapuskan sindiket perjudian.

Dalam ulasan yang disiarkan hari ini, beliau menyalahkan sindiket perjudian kerana memulakan kempen “pembunuhan karakter” terhadap Dzulkifli, berikutan pengumumannya pada 13 September yang SPRM akan menumpukan perhatian kepada rumah judi, pengendali, dan pihak penguatkuasaan yang melindungi mereka.

Semalam, Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata tuduhan yang Dzulkifli mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita sudah berkahwin adalah untuk melemahkan agensi rasuah.

Setakat ini, lelaki yang menjadi tumpuan dakwaan masih berdiam diri, berlawanan dengan karakter Dzulkifli, yang sebelum ini membuat kenyataan tegas mengenai siasatan SPRM dan berbangga dengan prestasi agensi kerana berjaya merampas lebih jutaan ringgit berbentuk aset berbanding tahun sebelumnya.

SPRM di bawah Dzulkifli, yang memegang jawatan pada Ogos 2016, mencatatkan peningkatan jumlah kertas siasatan yang dibuka, tangkapan, dan pendakwaan.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan terdapat rasa tidak puas hati dalam Umno dan Barisan Nasional terhadap keghairahannya menangkap mereka yang didakwa menerima rasuah atau terlibat dalam amalan rasuah, terutama ahli politik kerajaan.

Utusan berkata sindiket perjudian menyerang balas Dzulkifli kerana penyiasatan terhadap aktiviti mereka yang kemungkinan akan mendedahkan amalan rasuah di kalangan pegawai kanan di agensi penguat kuasa. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen