Ketua cawangan Al-Qaeda Asia Selatan terbunuh di Afghanistan


Asim Umar terbunuh dalam serangan pada 23 September di sebuah kompleks Taliban di daerah Musa Qala, wilayah Helmand. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2019.

PEMIMPIN Al-Qaeda cawangan Asia Selatan terbunuh dalam serbuan bersama Amerika Syarikat (AS)-Afghanistan di selatan Afghanistan bulan lalu, pegawai negara itu mengesahkan pada Selasa.

Asim Umar, yang mengetuai Al-Qaeda di benua India (Aqis) sejak penubuhannya pada 2014, terbunuh semasa serangan pada 23 September di sebuah kompleks Taliban di daerah Musa Qala, wilayah Helmand.

Taliban Afghanistan menafikan Umar maut dan menyifatkan ia laporan “propaganda palsu musuh” yang bertujuan menyembunyikan hakikat ia terkena majlis perkahwinan yang menyebabkan kematian penduduk awam.

“Puluhan orang awam Afghanistan termasuk mereka yang mengambil bahagian dalam majlis perkahwinan terbunuh dan cedera,” katanya dalam satu kenyataan berbahasa Inggeris yang diterbitkan oleh SITE Intelligence, yang memantau kegiatan militan di seluruh dunia.

Direktorat Keselamatan Nasional (NDS) Afghanistan berkata Umar adalah warganegara Pakistan, walaupun beberapa laporan mendakwa beliau dilahirkan di India.

NDS mengumumkan kematian Umar bersama enam anggota Aqis yang lain di Twitter.

Serangan itu adalah sebahagian daripada operasi semalaman yang panjang pada 22 hingga 23 September dengan AS memberikan sokongan udara.

Pihak berkuasa berkata mereka akan menyiasat laporan 40 orang awam, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara semasa operasi itu.

NDS mengatakan antara enam anggota Aqis lain yang terbunuh dalam serbuan itu adalah seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai “Raihan”, utusan khas bagi pemimpin Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri.

Angkatan AS-Afghanistan enggan mengulas.

Tidak diketahui bila Umar dipilih untuk memimpin Aqis yang baru diwujudkan pada 2014.

Cawangan militan itu ditubuhkan untuk cuba membangkitkan pejuang di India, Bangladesh dan Myanmar. – AFP, 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen