KECEWA dengan Belanjawan 2019, penduduk Sarawak kini berharap Belanjawan 2020 akan memenuhi keperluan paling asas yang sering diabaikan terhadap negeri paling besar, namun merupakan satu daripada negeri paling kaya di negara ini dengan sumber minyak dan gasnya.
Antara perkara yang paling diharapkan mereka adalah paip air bersih, bekalan elektrik dan jalan yang diselenggara dengan baik.
Ia pastinya akan menjadi “sesuatu yang mengharukan” jika Putrajaya dapat memastikan kesemua keperluan asas ini dipenuhi, kata mereka yang ditemuramah oleh The Malaysian Insight.
Mereka juga ingin melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan komitmen meningkatkan pendidikan di negeri ini dengan memperuntukkan lebih banyak wang bagi membaiki sekolah uzur, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan yang lebih baik.
Belanjawan 2020 akan menjadi yang kedua kerajaan PH sejak menjadi kuasa persekutuan pada Mei tahun lepas. Ia akan dibentangkan Jumaat ini di Dewan Rakyat.
“Saya harap lebih banyak peruntukan bagi infrastruktur luar bandar,” kata aktivis akademik dan sosial Joseph Ramanair mengenai hasratnya untuk Belanjawan 2020.
“Air paip terawat dan elektrik, yang ramai tidak hargai adalah sesuatu yang kami tunggu sejak bertahun lamanya.”
Ramanair dari Universiti Malaysia Sarawak, berkata Putrajaya patut membuat penilaian bahawa pendidikan adalah penting untuk mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan dengan meningkatkan infrastruktur sekolah.
“Saya juga berharap lebih peruntukan untuk membina lebih banyak sekolah supaya isu ruang kelas yang penuh sesak dapat ditangani.”
Dalam Belanjawan 2019, RM4.34 bilion diperuntukkan kepada Sarawak. Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata jumlah itu adalah bagi pembinaan dan peningkatan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, pembinaan dan peningkatan kemudahan kesihatan dan pendidikan serta pembangunan koridor ekonomi.
Peruntukan 2019 tidak berbeza dengan peruntukan sebanyak RM4.33 bilion di bawah kerajaan Barisan Nasional dalam Belanjawan 2018.
Seorang lagi aktivis sosial, William Manggor berkata beliau mengharapkan belanjawan yang lebih menjurus kepada pembangunan.
“Saya berharap 60% belanjawan persekutuan akan memberi tumpuan kepada program pembangunan dengan harapan banyak disalurkan kepada Sarawak.
“Harapan saya ialah lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan penjagaan kesihatan di negeri ini, seperti meningkatkan hospital utama di beberapa bandar utama, lebih banyak wang untuk meningkatkan pendidikan seperti membina lebih banyak kolej latihan guru bagi memperkasakan penduduk tempatan.”
Manggor juga berkata beliau berharap terdapat peruntukan membaharui sektor pertanian di Sarawak supaya penduduk di luar bandar mendapat galakkan untuk menanam dan menjual beras, lada, koko, dan sayur-sayuran. – 9 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini
Komen