Golongan M40 mahu beban mereka dikurangkan dalam Bajet 2020


Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim Desmond Davidson

Golongan M40 masih terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi walaupun secara teknikal mereka lebih baik daripada golongan B40. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2019.

WALAUPUN bergelar ibu tunggal dan perlu menjaga adiknya yang menghidap kencing manis, namun Norzaini Ahmad tidak layak menerima sebarang bantuan dari Putrajaya. 

Di atas kertas, penjual rempah dari Pulau Pinang itu merupakan “golongan kelas menengah” tetapi realitinya perbelanjaannya sama seperti orang dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Sebagai contoh, anaknya terpaksa berhenti dari menyambung pelajaran di kolej kerana mereka tidak mampu untuk membayar yuran.

“Saya telah cuba memohon semua jenis bantuan seperti BSH tetapi tak dapat. Sebab itulah anak saya terpaksa berhenti belajar,” katanya.

Walapun golongan M40 memperoleh lebih dari RM4,000 sebulan dan secara teknikal lebih baik daripada golongan B40, namun mereka masih perlu berusaha untuk memenuhi keperluan harian.

Dalam satu tinjauan rambang terhadap 10 keluarga daripada golongan M40, mereka berharap ada pengecualian cukai dan perbelanjaan untuk persekolahan anak-anak dibantu dalam Bajet 2020 akan datang.

Seperti B40, ramai juga daripada kalangan keluarga M40 memberitahu The Malaysian Insight yang mereka terbeban dengan kos barang runcit yang tinggi, barangan rumah dan perkhidmatan seperti pendidikan.

Ada yang mahukan bantuan untuk mengembangkan perniagaan mereka sementara yang lain mahu Pakatan Harapan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik di sekolah, hospital dan tadika.

Pengurus projek yang mahu dikenali dengan nama Muhammad berkata, dia mahu Putrajaya mempertimbangkan untuk menyusun semula sistem penilaian bantuan kebajikan dengan mengambil kira jumlah ahli keluarga dan bukan semata-mata menilai pada pendapatan yang diperoleh.

“Salah seorang kawan saya tak dapat BSH kerana dia bukan golongan B40. Tetapi dia ada enam anak.

“Bandingkan dengan pasangan B40 yang tidak mempunyai anak tetapi dapat BSH,” katanya.

Pakatan Harapan telah menyemak semula dan mengetatkan skema bantuan BR1M yang dibuat oleh Barisan Nasional.

Setiap isi rumah yang mendapat kurang dari RM4,000 sebulan menerima antara RM500 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan seperti anak-anak dan warga emas.

Bajet 2020 akan diumumkan pada 11 Oktober ini dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah memberi gambaran bahawa belanjawan akan datang bertujuan meningkatkan perbelanjaan dan penggunaan domestik.

Rata-rata rakyat mahu kerajaan dapat menurunkan kos persekolahan anak-anak seperti pakaian seragam sekolah, kasut dan buku teks. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2019.

Bantu kami tetapi berbelanja dengan bijak

Golongan isi rumah M40 adalah mereka yang pendapatan bulanannya di antara RM3,000 dan RM8,000.

Dalam 10 keluarga yang ditemui The Malaysian Insight di Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak berkata mereka tidak layak menerima BSH tetapi mereka mahu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan serta penjagaan kesihatan.

“Saya menghantar ketiga-tiga anak saya ke pra-sekolah dengan kos RM500 sebulan. Saya tak boleh menyimpan sebab gaji hanya cukup makan,” kata Thanabalan Arumugam yang bekerja sebagai juruteknik.

Menurutnya, dia berharap kerajaan dapat meningkatkan kualiti tadika Kemas sehingga ibu bapa tidak perlu memilih antara Kemas dan tadika swasta.

“Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke tadika Kemas kerana lebih murah tetapi kualitinya tidak begitu baik,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Kos yang tinggi untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak juga diperkatakan oleh penyelia kilang Azaza Abdul Aziz dari Shah Alam, Selangor.

“Saya harap kerajaan dapat menurunkan kos persekolahan anak-anak seperti pakaian seragam sekolah, kasut dan buku teks,” katanya yang mempunyai seorang anak di kolej, seorang di sekolah menengah dan seorang di sekolah rendah.

Selain pendidikan yang lebih baik, eksekutif minyak dan gas Inja Bucking berkata beliau berharap Putrajaya akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk jalan raya dan hospital yang lebih baik.

“Saya juga berharap ada inisiatif untuk menjadikan harga rumah lebih murah,” katanya.

Rakannya Dennis Wong berharap Putrajaya akan memberi pengecualian cukai untuk menggalakkan orang ramai mesra alam atau membeli makanan sihat.

Seperti kebanyakan isi rumah B40 yang ditemui The Malaysian Insight sebelum ini, hanya seorang daripada mereka mahu bantuan tunai langsung yang mana lebih suka kerajaan membantu rakyat meningkatkan pendapatan daripada diberi bantuan.

“Saya nak lihat belanjawan yang dipenuhi dengan aktiviti ekonomi untuk rakyat Malaysia dan bukan sekadar memberi wang tunai,” kata seorang pegawai kanan dari sebuah syarikat berkaitan kerajaan di Sarawak.

Hafizi Suki berkata Putrajaya perlu berhemat dalam Bajet 2020 dan menurunkan defisit persekutuan ke bawah 3.4 peratus.

“Kita perlu berhati-hati apabila berbelanja kerana kita tak mahu kadar kewangan dan kadar pertukaran ringgit kita menurun. Kerana jika ia berlaku, kita semua akan terkesan,” katanya. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen