5 lelaki ditahan disyaki terlibat samun, pecah rumah 


POLIS berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang warga Filipina yang disyaki terlibat dalam kejadian samun dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Risikin Satiman berkata seorang lelaki tempatan bersama warga Filipina ditahan dalam serbuan berasingan di Ara Damansara, Petaling Jaya dan Putra Height, Subang Jaya, kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Putra Heights yang mengakibatkan anggaran kerugian RM30,000.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan beberapa siri pecah rumah di sekitar Putra Heights dan Kajang.

“Polis turut merampas dua motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan aktiviti jenayah,” katanya menambah kedua-dua mereka berusia awal 30-an direman empat hari sehingga Jumaat ini.

Katanya, polis turut menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam kes samun seorang jurutera elektrik di USJ 1, Subang Jaya pada 27 September lepas.

Kesemua mereka berusia 22 dan 23 tahun direman tujuh hari sehingga 15 Oktober ini untuk membantu siasatan lanjut, katanya. – Bernama, 8 Oktober, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen