SEORANG pengantin baharu dan tiga ahli keluarganya maut akibat lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba berswafoto di sebuah sungai di selatan India, kelmarin.
Ketika kejadian mereka enam sekeluarga saling berpegangan tangan dan berdiri di dalam sungai separas pinggang untuk berswafoto namun salah seorang daripada mereka tergelincir dan terus menarik mangsa yang lain.
Suami wanita itu berjaya menyelamatkan seorang mangsa tetapi yang lain termasuk isterinya dan remaja lelaki 14 tahun lemas.
Mayat semua mangsa lemas ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian oleh pasukan penyelamat.
Satu kajian tahun lepas oleh para penyelidik dari All Indian Institute of Medical Sciences berkata, seramai 259 orang meninggal dunia ketika berswafoto antara tahun 2011 dan 2017.
Jumlah kematian tertinggi dilaporkan di India diikuti oleh Rusia, Amerika Syarikat dan Pakistan. – AFP, 8 Oktober, 2019.
Komen