Lelaki ditahan kerana cukur kepala isteri


Pada April protes besar-besaran dibuat selepas seorang pelajar sekolah berusia 19 tahun dibakar atas arahan pengetua selepas dia membuat laporan diganggu secara seksual. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2019.

SEORANG lelaki ditahan kerana mencukur kepala isterinya selepas terjumpa sehelai rambut dalam makanan ketika ingin menikmati sarapan pagi dalam satu kejadian di Bangladesh.

Polis telah mengadakan serbuan di sebuah kampung di daerah barat daya Joypurhat dan menahan Bablu Mondal, 35, selepas penduduk kampung memberitahu pegawai mengenai kejadian itu.

Ketua polis tempatan Shahriar Khan berkata, Mondal menjumpai rambut manusia di atas nasi dan susu yang disediakan oleh isterinya.

“Lelaki itu marah apabila melihat rambut berkenaan dan menyalahkan isterinya. Dia kemudian mengambil pencukur dan mencukur rambut isterinya,” katanya.

Khan berkata Bablu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan juga bertindak “melampaui batas” terhadap isterinya.

Aktivis berkata kejadian itu merupakan penindasan terhadap golongan wanita di Bangladesh selain undang-undang melindungi mereka dari penyalahgunaan dan serangan seksual.

Menurut kumpulan hak asasi tempatan Ain o Salish Kendra, sekurang-kurangnya tiga jenayah rogol berlaku dalam sehari sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Organisasi itu berkata, seramai 630 wanita diperkosa antara Januari dan Jun, 37 terbunuh akibat serangan itu manakala tujuh yang lain membunuh diri akibat dirogol.

Terdapat juga 105 kes cubaan merogol.

Pada April protes besar-besaran dibuat selepas seorang pelajar sekolah berusia 19 tahun dibakar atas arahan pengetua selepas dia membuat laporan diganggu secara seksual. – AFP, 8 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen