China bidas tindakan senarai hitam AS


Jurucakap kementerian luar China, Geng Shuang berkata tindakan Amerika Syarikat itu hanyalah cubaan untuk campur tangan urusan dalaman negara berkenaan.– Gambar EPA, 8 Oktober, 2019.

CHINA membidas Amerika Syarikat berhubung langkah senarai hitam 28 entiti China yang didakwa terbabit dalam pencabulan dan penderaan hak terhadap etnik Uighur dan minoriti Islam lain di wilayah Xinjiang.

Negara itu turut menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai “tidak berasas”.

Setiausaha Perdagangan Wilbur Ross ketika mengumumkan langkah melarang entiti dinamakan daripada membeli produk AS, berkata “Washington tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan penindasan kejam ke atas etnik minoriti di China.”

Namun Beijing menyatakan bantahan keras terhadap tindakan itu dan mempertahankan dasarnya di wilayah barat, yang mana kumpulan hak asasi manusia berkata China menahan kira-kira sejuta etnik Uighur dan umat Islam lain di kem pendidikan semula di barat Xinjiang.

Washington menyifatkan tindakan itu hampir serupa dengan tindakan Nazi di Jerman.

“Tidak wujud apa yang didakwa sebagai ‘isu hak asasi manusia’ sebagaimana yang didakwa Amerika Syarikat,” kata jurucakap kementerian luar Geng Shuang.

“Tuduhan ini tidak lain hanyalah alasan oleh Amerika Syarikat untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman China.”

Menurut kemas kini dengan Pendaftaran Persekutuan AS yang akan disiarkan esok, firma yang disenaraihitamkan termasuk syarikat video pemantauan, Hikvision selain syarikat kecerdasan buatan (AI), Megvii Technology dan SenseTime. – AFP, 8 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen