BADAN yang mewakili pakar bedah Australia telah mendesak agar langkah menghalalkan ganja di ibu kota negara itu dimansuhkan, lapor agensi berita China Xinhua.
Kolej Diraja Pakar Bedah Australasia (RACS) memberi amaran bahawa langkah menghalalkan ganja dalam kuantiti kecil untuk kegunaan sendiri akan membawa kepada lebih banyak kematian dan kecederaan di jalan raya.
Ia dibuat ketika kerajaan persekutuan mempertimbang sama ada untuk campur tangan bagi memansuhkan undang-undang, yang akan membenarkan pemilikan sehingga 50 gram ganja dan maksimum empat pokok ganja bagi satu isi rumah di Wilayah Ibu Kota Australia (ACT) mulai Januari 2020.
John Crozier, anggota RACS, berkata ACT harus memberi perhatian kepada amaran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Serantau Michael McCormack yang menyifatkan undang-undang itu sebagai gila.
Menurut Canberra Times pada Selasa, Crozier berkata pakar bedah telah menyaksikan kematian secara besar-besaran yang berpunca daripada nahas jalan raya setiap hari dan “bertanggungjawab untuk meluahkan kebimbangan berhubung perkara itu.”
RACS tidak membentangkan hujah dalam inkuiri yang diadakan Dewan Legislatif ACT sebelum undang-undang itu diluluskan pada September namun Persatuan Perubatan Australia ada membuat pembentangan menentang langkah menghalalkan ganja. – Bernama, 8 Oktober, 2019.
Komen