LIMA lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan memperdagangkan migran di daerah ini ditahan dalam satu operasi, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai tekong dan dua lelaki warga Indonesia, berumur antara 26 hingga 51 tahun.
Beliau berkata tangkapan dilakukan di kawasan kuari berhampiran Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi, kira-kira pukul 10 malam tadi.
Pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Honda Odyssey dan wang tunai berjumlah 4.6 juta Rupiah Indonesia, katanya dalam satu kenyataan, di Kota Tinggi, hari ini.
“Kesemua individu ditangkap kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan migran dan menggunakan jalan yang tidak diwartakan untuk keluar Malaysia,” kata beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) (pin 2002) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (pin 2002).– Bernama, 8 Oktober, 2019.
Komen