RANGKA dipercayai wanita warga emas ditemukan di dalam bilik air rumahnya di Taman Centry Garden, di Johor Bahru tiga hari lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata rangka wanita yang dikenali sebagai Hooi Mee Mee, 78, dijumpai oleh seorang ejen hartanah yang ketika itu datang untuk menemui mangsa pada pukul 2.35 petang.
Katanya, kedatangan ejen hartanah itu dipercayai untuk memaklumkan bahawa rumah berkenaan akan dijual kepada orang lain.
Menurutnya, setelah tidak menerima sebarang respons, ejen hartanah itu membuka pintu untuk memeriksa sebelum menjumpai rangka berkenaan di dalam sebuah bilik air di dalam rumah itu.
“Berikutan penemuan itu, pihak polis telah melakukan pemeriksaan ke atas rangka manusia terbabit, namun tiada tanda unsur perbuatan jenayah dan khianat didapati berlaku.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang senjata yang menjurus kepada perbuatan jenayah,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bahru hari ini.
Shahurinain berkata warga emas itu juga dianggarkan telah meninggal dunia sejak lebih enam bulan lepas dan rangka wanita itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk tujuan bedah siasat.
“Keluarga mangsa kini sedang dikesan bagi tujuan siasatan dan tuntutan mayat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Bernama, 8 Oktober, 2019.
Komen