KOREA Selatan pada Selasa menggesa Dana Iklim Hijau (GCF) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditambah baik untuk menangani perubahan iklim dengan lebih berkesan, lapor agensi berita Yonhap.
Dana yang dilancarkan pada 2010 - bertujuan menyalurkan sumbangan negara maju ke negara membangun bagi membantu menangani masalah berkaitan perubahan iklim.
Setakat ini dana itu menerima AS$7 bilion daripada kira-kira 40 negara, termasuk Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Korea Selatan menyumbang AS$100 juta.
“Memperkasakan semula dana itu sangat penting,” kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Antarabangsa di Kementerian Ekonomi dan Kewangan Kim Hoe Jeong pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam persidangan perubahan iklim yang diadakan di sebuah hotel di bandar pelabuhan barat Incheon.
Korea Selatan baru-baru ini, mengumumkan akan menyumbang AS$200 juta untuk pusingan pertama bagi usaha menambah baik dana itu.
Pada Julai pengarah eksekutif GCF Yannick Glemarec berkata beliau menjangkakan penambahbaikan itu berjaya kerana Jerman dan Norway mengumumkan bakal menggandakan sumbangan mereka.
Kim berkata pelaburan infrastruktur diperlukan setiap tahun hingga 2030 dengan peruntukkan pelaburan sebanyak AS$6.9 trilion untuk melaksanakan Perjanjian Paris, memetik satu laporan oleh PBB, Bank Dunia dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, baru-baru ini.
Kim berkata kewangan awam mesti digunakan sebagai pemangkin untuk menarik minat pihak swasta melabur kerana kebanyakan projek berkaitan perubahan iklim memberi pulangan rendah dan berisiko tinggi.
“Kami harap GCF memainkan peranan inovatif dalam menggalakkan penyertaan swasta dan beralih ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya.
Pada Julai, GCF meluluskan pembiayaan sebanyak AS$267 juta untuk 10 projek baharu di negara membangun.
Menjadikan sejumlah 111 projek dilaksanakan di bawah dana itu, membabitkan peruntukan US$5.2 bilion di 99 negara membangun. – Bernama, 8 Oktober, 2019.
Komen