JERMAN akan menyediakan bantuan kewangan tambahan bernilai AS$73 juta untuk Somalia, lapor agensi berita Anadolu.
Duta Besar Annett Gunther membuat pengumuman itu pada Isnin semasa menganjurkan sambutan Hari Perpaduan Jerman di Mogadishu yang turut dihadiri Perdana Menteri Somalia Hassan Ali Khaire.
“Sebagai sokongan kepada Somalia, Jerman meningkatkan kerjasama dengan menambah sumbangan kepada AS$73 juta untuk tempoh dua tahun akan datang.
“Perkara itu seperti yang dipersetujui bersama, akan memupuk pertumbuhan inklusif, pembangunan kemahiran (melalui pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional) dan infrastruktur bandar. Tambahan pula, Jerman sedang menumpukan dalam pembangunan luar bandar, pertanian dan pengurusan air,” kata Gunther.
Turut hadir pada majlis itu Speaker Dewan Negara Abdi Hashi Abdullahi dan Menteri Luar Negeri Ahmed Isse Awad.
Gunther menyatakan sumbangan kerajaan Jerman itu tanda sokongan terhadap kemajuan yang dibuat oleh rakyat Somalia.
“Ia bertujuan untuk menyokong kemajuan positif Somalia yang ditunjukkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Acara yang berlangsung di Kompleks Diplomatik Kesatuan Eropah itu sebagai memperingati ulang tahun ke-29 penyatuan semula Jerman pada 3 Oktober, 1990. – Bernama, 8 Oktober, 2019.
Komen