TURKI siap sedia untuk melancarkan operasi ketenteraan di timur Sungai Euphrates di Syria bagi mewujudkan zon keselamatan, memetik Kementerian Pertahanan pada Selasa, lapor agensi berita Anadolu.
“Penubuhan Zon Keselamatam/ Koridor Selamat penting bagi rakyat Syria untuk memiliki kehidupan yang selamat dengan menyumbang kepada kestabilan dan keamanan di rantau kita,” kata kementerian itu menerusi ciapannya.
“Tentera Turki tidak akan berkrompromi dengan tindakan keganasan di sempadan kami. Semua persediaan untuk menjalankan operasi itu telah siap,” tambah kenyataan itu.
Presiden Donald Trump berdepan tekanan selepas Rumah Putih pada Ahad lalu mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menarik balik pasukannya di Syria menjelang operasi “jangka panjang” Turki itu.
Pentadbiran Trump menafikan AS menyokong operasi itu, presiden itu berkata dan memberi amaran “jika Turki melakukannya, saya akan benar-benar memusnahkan dan menghapuskan ekonomi Turki. “
Turki sekian lama meminta AS bekerjasama dengannya dalam memerangi Daesh.
Sejak 2016, operasi Perisai Euphrates Turki dan Cawangan Olive di barat laut Syria berjaya membebaskan wilayah itu daripada cengkaman keganasan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) serta Daesh, membolehkan 400,000 rakyat Syria yang melarikan diri dapat pulang semula ke rumah mereka.
Dalam kempen keganasan lebih 30 tahun terhadap Turki, PKK - disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turki, AS dan Kesatuan Eropah - bertanggungjawab menyebabkan kematian 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi. YPG pula di bawah organisasi PKK, cawangan Syria. – Bernama, 8 Oktober, 2019.
Komen