-2.jpg)
KONGRES Maruah Melayu pada 6 November, 2019 dihadiri kira-kira 5,000 peserta dan menghasilkan beberapa resolusi utama yang menjadi tuntutan kepada pihak kerajaan.
Kami merasa terpanggil untuk menjawab YB Fadhli Shaari selaku pembentang resolusi dari kluster agama.
Sebagaimana yang dilaporkan akhbar, resolusi itu menuntut semua jawatan utama dan penting negara hanya boleh dipegang oleh kaum Melayu Muslim saja. Kami berpendirian kenyataan ini adalah dangkal dan membelakangkan konsep negara Malaysia yang berbilang kaum.
Pelantikan seseorang dalam sesuatu jawatan seharusnya mengutamakan calon yang mempunyai merit, kredibiliti, keupayaan dalam menjalankan tugas tersebut. Dengan cara ini tugas itu dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
Peguam Negara Tommy Thomas misalnya mempunyai rekod lampau yang baik dan dibanggakan. Beliau bahkan pernah dilantik mewakili kerajaan Kelantan dalam membela isu royalti petroleum negeri itu yang dinafikan kerajaan pusat dan Petronas, sebelum Ustaz Fadhli bergelar “Yang Berhormat” lagi di negeri itu.
Sekiranya beliau tidak cemerlang dalam tugasan, maka seseorang yang lebih berupaya dari segi merit perlu dipilih sebagai pengganti. Formula itu lebih tepat dan adil untuk diguna pakai dan bukan untuk sesuatu kaum sahaja yang layak untuk menjawat jawatan tersebut.
Tiada kaum kelas kedua
Malaysia dibina hasil curahan tenaga dan sumbangan semua kaum dan bangsa. Maka bagaimana mungkin timbulnya idea untuk hanya satu kaum sahaja mendominasi segala jawatan penting negara?
Apakah beliau cuba mengatakan bahawa kaum selain Melayu adalah kelas kedua, lebih rendah martabat atau maruahnya tidak sepenting maruah Melayu?
Kita bukanlah negara yang mengamalkan sistem aparteid. Semua kaum berganding bahu dan memberi sumbangan buat tanah air tercinta, maka semua kaum harus mendapat tempat bersama dalam pentadbiran dan pengagihan ekonomi negara.
Berlapang dada isu mazhab
Selain mengusulkan kriteria pemimpin jawatan utama kerajaan sebagai mestilah Melayu Islam, resolusi ini disempitkan lagi oleh beliau dengan menegaskan bahawa penjawat mestilah berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.
Suka saya ingin menarik perhatian beliau kepada kenyataan yang dicapai dalam Amman Message (2004) yang mengiktiraf lapan mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali, Syiah Jaafari, Syiah Zaidiyah, Zahiri dan Ibadi serta dilarang mengkafirkan mazhab-mazhab ini.
Risalah Amman yang bersidang lebih kurang 15 tahun lebih awal dari Kongres Maruah Melayu itu disertai 84 negara Islam yang dipengerusikan oleh Raja Abdullah II sebagai Raja Jordan pada waktu itu. Malaysia turut menghantar lapan orang delegasi yang diketuai mantan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Maka cukup-cukuplah mahu mencari dan mencetuskan perbezaan sebaliknya lihatlah pada persamaan yang lebih menguntungkan.
Kami berpendapat penganjuran kongres satu usaha baik kerana ia menjadi langkah pelaksanaan menuju satu wawasan. Namun kongres seperti Kongres Maruah Melayu harus menjadi medan untuk muhasabah dan membaiki diri daripada kelemahan dalaman yang berpunca daripada diri sendiri.
Cara ini lebih bermaruah daripada menuding jari meletakkan kesalahan kepada kaum lain atas kelemahan yang ditanggung ketika ini. Apalagi jika ia menimbulkan keresahan dan ketakutan di kalangan kaum lain dan ini menyebabkan tumbuhnya masyarakat reaksioner atau masyarakat melatah.
Masyarakat reaksionari akan bertindak gopoh, tidak berpandukan kewarasan dan dengan hanya satu percikan permusuhan sahaja negara akan berantakan.
Kerajaan lemah tangani perkauman
Sejak mendapat mandat dari rakyat dalam pilihan raya umum lalu, kita sentiasa dihidangkan dengan isu-isu perkauman yang semakin meruncing. Lebih malang lagi kerajaan dilihat lemah dan gagal mengatasi isu perkauman. Sedangkan perkara sebegini amat merbahaya dan mengancam kestabilan negara.
Pimpinan PH walaupun duduk dalam satu koalisi dilihat tidak sepakat. Walau menamakan diri sebagai Pakatan, namun seolah-olah mereka hanya mahu menjadi jaguh kaum masing-masing. Ini seperti kata pepatah “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”.
Ini bukanlah Malaysia Baru yang diidamkan bahkan ini boleh jadi lebih teruk daripada “Malaysia Lama”.
Membela maruah Melayu
Bangsa Melayu dan apa jua bangsa sekalipun sekiranya serius mahu mengangkat martabat bangsa terdapat pelbagai cara. Misalnya, menyatukan tenaga melawan rasuah di kalangan pemimpin bangsa sendiri, mengatasi masalah jenayah, penderaan seksual, penyalahgunaan dadah, pembasmian kemiskinan dan banyak lagi perkara yang berlaku dalam bangsa sendiri.
Analoginya, jika mahu berpakaian cantik, jahit lubang di samping sendiri bukan mengoyakkan pakaian orang lain.
YB Fadhli sebagai seorang yang pernah menjadi setiausaha kepada Nik Abdul Aziz seharusnya mencontohi lebih dekat peribadi allahyarham yang begitu disenangi dan disanjungi semua kaum dalam negara kerana prinsip beliau yang menyanggah nasionalis perkauman.
Almarhum tidak perlu menanggalkan serban atau jubah yang dipakai untuk mendapat penghormatan daripada kaum lain, cukup dengan beliau tidak memakai pemikiran diskriminasi perkauman sempit yang merugikan.
Sebagai penutup saya berpesan buat diri saya sendiri untuk sama-sama merenung firman Allah dalam Surah Al Maidah ayat 8:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
“Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” – 8 Oktober, 2019.
* Nik Aziz Afiq Abdul ialah ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen